Selasa, 9 April 2019

Tok Gajah kena menang, menang...


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
SKUAD Tok Gajah perlu memastikan setiap perlawanan selepas ini berakhir dengan kutipan tiga mata jika mahu mencerahkan peluang merampas takhta Liga Super.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan skuad PJ City FC, minggu lalu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berharap kekecewaan itu tidak berulang dalam aksi selepas ini.

"Kalau kita ingin berikan saingan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) kena pastikan setiap perlawanan selepas ini berakhir dengan kemenangan.

"Pemain kita berpeluang untuk menjaringkan lebih daripada satu gol ketika bertemu PJ City FC hujung minggu lalu tapi nampaknya mereka (pemain) tidak memanfaatkan setiap peluang yang ada.

"Jadi, selepas ini saya tidak mahu kesilapan sama berulang. Kalau sudah ada peluang (untuk jaringkan gol), kenapa nak tunggu atau teragak-agak lagi," katanya.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kehadiran penyerang berbisa mereka, Dickson Nwakaeme pada separuh masa kedua juga tidak banyak membantu memandangkan pemain kelahiran Nigeria itu tidak sempat menjalani latihan secukupnya selepas berehat bersama ahli keluarganya selama dua minggu.

"Dia (Nwakaeme) belum pada tahap terbaik kerana baru sahaja kembali menyertai pasukan selepas bercuti.

"Saya rasa Nwakaeme boleh beraksi pada tahap sebenar tidak lama lagi. Biar dia kembali menjalani latihan dengan rakan sepasukan dan saya percaya dia akan mempamerkan prestasi sebenar selepas ini," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 12:49 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan