Jumaat, 19 September 2014 |
9:49pm
KETUA jurulatih skuad kebangsaan,
Dollah Salleh (kiri) bersalaman bersama jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja,
Meas Channa (kanan) sambil disaksikan pengurus Kemboja, Chhaing Pisedth (dua
kiri) dan pemain, Um Nichet ketika sidang media perlawanan persahabatan
antarabangsa, esok.
Dollah mahu tutup mulut
pengkritik
PETALING JAYA: Keazaman skuad
Harimau Malaya untuk melakar kemenangan ke atas Kemboja, malam esok akan
menutup mulut pengkritik yang lantang mengecam kewibawaan ketua jurulatih
Dollah Salleh sebelum ini.
Dollah berkata skuad bimbingannya
perlu menangkis kritikan demi kritikan terhadap skuad itu dengan menunjukkan
aksi terbaik pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A' itu di Stadium
Shah Alam, bermula 8 malam.
Selepas kalah 1-4 kepada
Tajikstan dan 0-2 kepada Indonesia dalam dua perlawanan persahabatan sebelum
ini, jurulatih kelahiran Melaka itu berkata beberapa pemain yang belum merasai
dua perlawanan sebelum ini akan diberi peluang.
"Sudah tentu, kita kena
menang ke atas Kemboja... kalau tidak pengkritik (bola sepak tempatan) akan
terus membidas skuad negara termasuk saya," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan perlawanan itu di Wisma FAM di
Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Bekas pengendali PDRM itu turut
percaya, hanya dengan kemenangan dan persembahan terbaik saja mampu memulihkan
rentak persembahan hambar skuad Harimau Malaya dalam dua perlawanan
persahabatan sebelum ini.
Dollah berkata empat pemain
terpaksa disisihkan pada aksi menentang Kemboja setelah disahkan mengalami
kecederaan iaitu penjaga gol, Azizon Abdul Kadir, pemain pertahanan, Mohd
Muslim Ahmad dan Zairul Fitree Ishak serta pemain sayap, S Chanturu.
Beliau turut berharap agar
penyerang prolifik negara, Mohd Safee Sali akan kembali menemui sentuhan
jaringan selepas gandingan bersama Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah
gagal mencipta impak dalam perlawanan terdahulu.
Selain Kemboja, skuad Harimau
Malaya dijangka berdepan Jordan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium
Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober ini.
Perlawanan persahabatan itu
menjadi persediaan Dollah bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang
dijadualkan di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.
Malaysia berdepan laluan sukar
pada kejohanan membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam
Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dan
pemenang dari pusingan kelayakan.
Pusingan kelayakan Piala AFF
Suzuki, Oktober ini membabitkan lima negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste,
Kemboja dan Laos dengan dua slot terakhir menjadi rebutan pasukan bertanding.
Sementara itu, penolong jurulatih
Kemboja, Meas Channa berkata perlawanan persahabatan itu turut menjadi
sebahagian daripada persediaan pasukan itu menghadapi pusingan kelayakan Piala
AFF Suzuki di Laos dari 12 hingga 20 Oktober ini.
"Perlawanan dengan Malaysia
esok adalah penting bagi kami menilai dan memilih pemain terbaik bagi
menghadapi pusingan kelayakan nanti. Saya harap semua pemain akan menampilkan
aksi terbaik masing-masing," katanya. - BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
19 September 2014 | 9:49pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan