Sabtu, 20 April 2019

Dollah tak ambil pusing

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebelum berlepas ke Tajikistan untuk perlawanan persahabatan. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
PETALING JAYA - Debaran undian Piala AFF 2014 bakal terungkai hari ini, sama ada Harimau Malaya akan berada dalam kumpulan maut atau sebaliknya, namun jurulatih, Dollah Salleh tetap tenang.

Langsung tidak berasa tertekan, pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang pasukan yang ingin dielak, sambil bersedia bertemu mana-mana pencabar.

Jelasnya, memandangkan jurang semua pasukan berada di tahap yang tidak jauh berbeza, beliau tidak risau dengan keputusan undian yang akan dilakukan di Hanoi, Vietnam pada pukul 2 petang waktu Malaysia.

"Kualiti antara pasukan dalam Piala AFF sebenarnya lebih kurang sama dan kalau kita hendak fikir nak elak jumpa sesiapa, saya rasa memang susah kerana sudah pasti kita akan berjumpa hampir semua pasukan jika mara ke perlawanan akhir.

"Pada saya dengan siapa kita bakal diundi, itu bukan masalahnya kerana apa yang penting adalah persiapan pasukan dalam beberapa bulan ini bagi menghadapi kejohanan Piala AFF," katanya yang ditemui pada sesi latihan terakhir Harimau Malaya di Wisma FAM, sebelum bertolak ke Dushanbe, Tajikistan, semalam.

Vietnam, Thailand, Indonesia dan juara bertahan, Singapura berpotensi menjadi dua pencabar negara di peringkat kumpulan.

Dua slot lagi akan ditentukan menerusi pusingan kelayakan terdiri daripada Brunei, Myanmar, Laos, Kemboja dan Timor Leste yang akan berlangsung dari 12 hingga 20 Oktober.

Pada Piala AFF 2012, Harimau Malaya yang turun dengan reputasi juara bertahan diundi bersama Singapura, Indonesia dan Laos.

Malaysia muncul naib juara kumpulan sebelum tewas kepada Thailand di separuh akhir.

Menjelang perlawanan dengan Tajikistan, Dollah mengakui sedikit gusar kerana terpaksa bermain di padang tiruan yang dijangka memberi sedikit kesukaran kepada anak-anak buahnya bermain mengikut rentak sebenar.

"Saya belum ada kesebelasan idaman, biar di sana saya tentukan selepas kami menjalani latihan serta pemain mendapat kesesuaian.

"Cuma yang mungkin sedikit bermasalah adalah faktor padang kerana berdasarkan maklumat yang saya terima kita akan bermain di atas padang tiruan yang mungkin membawa sedikit kesukaran kepada pemain.

"Walaupun saya ada membawa pemain berlatih di padang tiruan, namun tidak boleh terlalu lama kerana pasti akan ada pemain mendapat kecederaan," katanya.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140805/su_04/Dollah-tak-ambil-pusing#ixzz39V817bdU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan