Isnin, 1 April 2019

'Menang, tiga mata... memang puas hati!'


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
DOLLAH Salleh memuji persembahan mantap skuad Pahang mengutip tiga mata selepas menewaskan FELDA United FC 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Pengendali skuad Tok Gajah itu berkata, kemenangan itu sememangnya dinantikan untuk mengukuh kedudukan dalam saingan Liga Super.

"Tidak dinafikan saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang mencapai misi mengutip tiga mata di tempat lawan.

"Kemenangan itu juga meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi terbaik untuk mengukuhkan kedudukan di takhta liga," katanya.

Sementara itu, pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil ternyata kecewa kerana kelab itu gagal untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Katanya, biarpun skuad itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1, kealpaan pemain untuk mengekang asakan lawan menafikan keputusan positif buat kelab itu.

"Sebaik ketinggalan 2-1, kita berusaha untuk memberikan tentangan tetapi ia tidak mampu dilakukan sehingga tamat perlawanan," katanya.

Tiga gol Pahang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha m-44, Jose Eduardo (m-63) dan Mohd Faisal Halim (m-90).

Goll tunggal FELDA United pula dijaringkan Thiago Aquino (m-48).

Kemenangan meletakkan skuad Tok Gajah di persada liga dengan 17 mata manakala The Fighters yang mengutip enam mata berada di tangga ke-10 selepas tujuh perlawanan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:33 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan