Sabtu, 9 March
2019 | 11:32am
DOLLAH Salleh.
- Foto Abdullah Yusof
Dollah tak
salahkan Mat Yo
Oleh Asrol
Awang
bhsukan@nstp.com.my
KONGSI ARTIKEL
KUANTAN:
Pengendali Pahang, Dollah Salleh enggan menyalahkan Norshahrul Idlan Talaha
selepas penyerang itu gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang
Kedah, malam tadi.
Menurut bekas
jurulatih skuad kebangsaan itu, Norshahrul atau Mat Yo turut kecewa terlepas
peluang itu kerana jika jaringan itu disempurnakan ia membantu pasukan untuk
memberi tekanan kepada lawan.
"Namun,
saya puji dengan komitmen Norshahrul kerana dapat mengekalkan corak
permainannya sepanjang perlawanan untuk bersama mendapatkan gol buat
pasukan," katanya.
Dalam
perlawanan di Stadium Darul Makmur malam tadi, pengadil perlawanan Mohammad
Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti selepas kapten Helang Merah,
Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti pada minit
ke-26.
Namun, sepakan
Norshahrul ditepis keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bagaimanapun,
pemain gantian, Zuhair Aizat Mohd Nazri muncul wira Tok Gajah apabila jaringan
yang dihasilkan lima minit sebelum perlawanan tamat memastikan Pahang mengutip
tiga mata.
Mengulas
lanjut perlawanan itu, Dollah bangga dengan komitmen pemain yang tidak mengenal
erti putus asa untuk memburu kemenangan.
"Saya
gembira kerana pemain melakukan segala-galanya untuk mencatat kemenangan sekali
gus mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.
"Bagi
saya, semua pemain beraksi dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk
menjaringkan gol tetapi dinafikan pertahanan lawan.
"Kita
juga menguasai 65 peratus permainan dan kemenangan ini memberi lebih keyakinan
kepada pemain untuk mengekalkan prestasi ini pada perlawanan akan datang,"
katanya
Sumber-BERITA
HARIAN ONLINE Sabtu, 9 March 2019 | 11:32am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan