MyMetroNode
Oleh Aziman Rosdi & Azlan
Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my
Sepang: Ketua jurulatih Harimau
Malaya Dollah Salleh mengesahkan peletakan jawatannya berkuatkuasa semalam
selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jelasnya, tindakan berkenaan
dilakukan demi rasa tanggungjawab tanpa mendapat tekanan mana-mana pihak.
“Ini keputusan muktamad dan saya
sudah mengadakan perbincangan dengan (Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak
Malaysia) Datuk Hamidin Mohd Amin. Mereka menerimanya.
“Memang terkilan dengan
pengakhiran begini namun mana-mana jurulatih tidak dapat menerima keputusan
seperti ini. Peminat juga tidak boleh terima, jadi saya dengan hati terbuka
melepaskan jawatan,” katanya sebaik tiba di KLIA malam tadi.
Dollah dilantik menggantikan
Datuk K Rajagobal pada Jun tahun lalu namun persembahan longlai sepanjang tahun
ini terutamanya berdepan lawan dari Timur Tengah mencetuskan persoalan walaupun
berjaya muncul naib juara Piala AFF 2014.
Dollah berkata, beliau tidak
menyalahkan pemain kerana ia asam garam bola sepak dan perlu menerimanya.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa.
Saya sudah menjangka (kekalahan) namun tidak sehingga kekalahan besar. Saya
jangka kita akan tewas dengan satu atau dua gol,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesungguhan dan
komitmen pemain, Dollah berkata, soalan itu sepatutnya dijawab oleh pemain sendiri.
Skuad negara akan meneruskan
saingan dalam Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan
bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa nanti.
Prestasi Dollah, 51, bersama
skuad kebangsaan tahun ini hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam enam
perlawanan antarabangsa selepas muncul naib juara Piala AFF tahun lalu.
Bekas pemain kebangsaan itu masih
mempunyai baki kontrak sehingga hujung tahun depan.
Dalam aksi di Stadium Mohammed
Zayed itu, Dollah hanya melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Ahmad
Hazwan Bakri dan Mohd Nasir Basharudin dalam kesebelasan utama berbanding
ketika seri dengan Bangladesh 0-0 pada aksi persahabatan minggu lalu.
Harimau Malaya gagal membendung
kelincahan pemain perancang Omar Abdulrahman serta penyerang Ahmed Khalil yang
menyumbat empat gol dan gandingannya Ali Mabkhout melakukan hatrik untuk skuad
kendalian Mahdi Ali menjadi peneraju kumpulan dengan enam mata.
Dollah pada sidang media di Abu
Dhabi kelmarin berkata, pemainnya beraksi buruk sehinggakan gawang mereka tetap
akan bolos jika menggunakan dua penjaga gol.
“Kami beri tiga, empat gol mudah
kepada pasukan lawan. Saya tahu tak mudah untuk berdepan UAE tapi tak jangka
kami kalah dengan 10 gol.
“Kalau saya letak dua penjaga gol
sekalipun kami tidak boleh berbuat apa-apa, pemain pertahanan saya melakukan
kesilapan mudah,” jelasnya.
Biarpun peluang Malaysia untuk
mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 masih terbuka, namun mereka
mungkin terpaksa melalui jalan sukar dengan aksi play-off.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 5 September 2015 @ 5:21 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan