ARKIB : 10/04/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) akan menamatkan teka teki siapa pengganti B. Sathianathan
sebagai jurulatih skuad bola sepak kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa
Eksekutifnya esok.
Siapa yang bakal dinamakan
sebagai jurulatih baru masih rahsia, yang pasti ia bukan jurulatih asing.
Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah
berpendapat anak tempatan berkelayakan dan sama hebat dalam menggalas tugas
memulihkan maruah bola sepak tempatan.
Azraai Khor Abdullah (Kedah), K.
Devan (Selangor), Dollah Salleh (Shahzan Muda) Wan Jamak Wan Hassan (Negeri
Sembilan) dan K. Rajagopal (Harimau Muda) antara calon awal untuk kerusi panas
itu.
Namun berdasarkan ramalan,
daripada lima nama besar dalam sukan bola sepak tempatan itu, dua 'D' - Dollah
Salleh dan Devan (K. Devan) dikatakan calon pilihan.
Pertamanya kerana calon lain,
jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan pengendali Harimau Muda, K.
Rajagopal dikatakan mempunyai komitmen terhadap pasukan masing-masing.
Mohd. Azraai mengakui dia belum
dihubungi atau dilamar oleh FAM, sekali gus menggambarkan mustahil Mohd. Azraai
menjadi pilihan walaupun dia memiliki rekod cemerlang membawa Kedah mencatat
kejuaraan treble berganda.
Sekalipun jika dilamar pada
saat-saat akhir, Azraai masih mempunyai kekangan dan syarat tertentu termasuk
perlu mendahulukan majikannya iaitu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
"Sehingga kini saya masih
belum dihubungi oleh FAM sama ada melamar atau memanggil saya bagi ditemu duga
untuk jawatan berkenaan,'' katanya.
Rajagopal pula yang pada awalnya
dilihat antara calon pilihan, seakan-akan menutup laluan mengendalikan skuad
kebangsaan kerana komitmennya bersama Harimau Muda.
Tanggungjawabnya sama penting
bersama Harimau Muda yang dilabel sebagai skuad masa depan yang kini diletakkan
di bawah pengendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
Atas alasan itu, maka Dollah dan
Devan dilihat sebagai calon pilihan dan tepat.
Dollah, 45, merupakan bekas
pemain kebangsaan, juga Selangor pada 1987 hingga 1990 sebelum menyertai Pahang
dan bersara pada 1998 dengan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhir yang
diwakilinya.
Sejurus menamatkan karier sebagai
pemain, Dollah mencuba karier sebagai jurulatih pada 2003 dan pantas menjulang
MPPJ sebagai pasukan berstatus kelab pertama memenangi Piala Malaysia pada
tahun yang sama selain membawa Selangor kembali ke zaman kegemilangan dengan
kejuaraan treble Liga FA Piala Malaysia dan Liga Super pada 2005.
Devan terkenal dengan sentuhan
ajaib apabila pasukan bimbingannya pasti memahat kejayaan.
Pada 2006, dia membawa Negeri
Sembilan memenangi Liga Super dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Musim lalu, Kuala Muda Naza (KM Naza) pula layak ke saingan Liga Super.
Bersama Selangor musim ini, Devan
dilihat mampu menjulang pasukan itu yang kini menduduki tangga kedua Liga Super
dengan 24 mata, satu mata di belakang Perlis.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A9TTRZR6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan