Sabtu, 20 April 2019

Dollah: Saya utamakan prestasi

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
 
DOLLAH (kanan) lebih mengutamakan prestasi seseorang pemain sebelum memanggil mereka menyertai skuad Harimau Malaya.

BINTANG Uruguay, Diego Forlan yang berusia 35 tahun serta Andrea Pirlo, 35, dari Itali masih mampu beraksi di pentas Piala Dunia, malah prestasi mereka lebih cemerlang berbanding pemain muda dalam skuad masing-masing.

Ramai lagi pemain yang sudah dimamah usia masih mampu menampilkan prestasi hebat ketika beraksi di pentas antarabangsa, dan soal usia sebenarnya bukan halangan untuk terus menabur bakti kepada negara.

Menyedari hakikat tersebut, jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh tetap dengan pendiriannya, malah tidak tunduk dengan serangan negatif beberapa pihak tertentu terhadap keputusannya menyenaraikan beberapa pemain veteran menyertai skuad kendaliannya itu yang dikenali sebagai Harimau Malaya.

Bekas pengendali skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mempunyai jawapan tersendiri terhadap keputusan tersebut dalam usaha membentuk skuad mantap bagi menghadapi Kejohanan Piala Suzuki AFF pada November depan.

Dollah menegaskan penyenaraian tonggak-tonggak veteran itu ke dalam skuad Harimau Malaya adalah berdasarkan prestasi semasa ketika beraksi dengan pasukan masing-masing dalam saingan liga tempatan.

"Sudah banyak kali saya katakan bahawa saya memilih mereka kerana faktor prestasi semasa. Meskipun sudah berusia tetapi mereka masih mampu mempamerkan persembahan mantap.

"Saya sudah pusing satu negara melihat aksi pemain-pemain kita. Kalau ada pemain berusia 50 tahun yang mampu beraksi cemerlang sekali pun, saya tetap akan ambil.

"Tiada istilah remaja atau senior dalam skuad kebangsaan. Selagi mereka mampu memberikan prestasi terbaik, saya akan panggil.

"Lagi pun, senarai pelatih dalam skuad Harimau Malaya masih ramai. Ia belum muktamad lagi dan tapisan demi tapisan akan dilakukan nanti," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.

Sebagai rekod, antara pemain veteran yang dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan ialah penjaga gol PDRM, Azizon Kadir, 34 dan dua tonggak utama Felda United, Indra Putra Mahayuddin, 32 serta Shukor Adan, 35.

Dalam perkembangan sama, Dollah juga mengakui bahawa pemain yang berusia dalam lingkungan 30-an sebenarnya boleh dikatakan berada pada tahap permainan terbaik.

"Usia 28, 29 dan 30 sebenarnya boleh dianggap sudah berada pada kemuncak prestasi. Kita memang memerlukan pemain senior dalam pasukan," jelasnya.

Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi aksi pemanas badan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 14 September ini.

Selepas bertemu Indonesia, skuad negara bakal menentang Kemboja (20 September) dan Jordan pada 11 Oktober depan di Stadium Shah Alam.

Sumber-Kosmo online 9/9/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan