MyMetroNode
Petaling Jaya: Ketua jurulatih
kebangsaan, Dollah Salleh tetap berwaspada dengan bahaya yang ada apabila
Malaysia bertemu Timor Leste pada perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Piala
Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Dollah, yang menyifatkan
perlawanan itu sebagai ‘perang saraf’, menasihati anak buahnya supaya bermain
dengan serius dan fokus bagi mendapatkan tiga mata pertama.
Jurulatih berusia 51 tahun itu
berkata skuad kebangsaan perlu berhati-hati dengan bahaya yang dibawa pasukan
bukan pilihan itu kerana pemain pasukan Timor Leste bermain dalam liga luar
negara seperti di Brazil, Kuwait dan Thailand memandangkan tiada liga tempatan
di negara mereka.
“Sebenarnya, (tidak mempunyai
liga tempatan) itu lebih susah bagi kita...mereka akan menguji kekuatan mental
kita dan kita perlu berhati-hati tentang perkara ini. Saya tidak mahu pemain
mengambil sikap mudah.
“Setakat ini, kami sudah membuat
kerja rumah, menonton video mereka dan kami tahu sebahagian besar kekuatan dan
kelemahan mereka. Perkara paling penting ialah kami perlu mendapat tiga mata
esok,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma FAM
di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Dollah menamakan pemain Johor
Darul Ta’zim, Mohd Safiq Rahim sebagai kapten dan pemain Felda United, Indra
Putra Mahayuddin sebagai naib kapten skuad kebangsaan untuk kempen pusingan
kelayakan ini.
Mengenai status Putera Nadher
Amarhan Maderner (Junior Eldstal) dan Mohd Amri Yahyah yang mengalami
kecederaan sebelum ini, Dollah berkata, dua pemain itu cukup bersemangat dan
tidak sabar untuk bermain esok, tetapi beliau akan menentukan kedudukan mereka
selepas latihan hari ini.
Sementara itu, rakan sejawatan
Dollah dari Timor Leste, Fabio Joaquim Maciel da Silva berkata, pemainnya sudah
bersedia untuk membuat kejutan esok dan mendakwa permainan bola sepak di negara
itu meningkat dengan ketara.
“Walaupun di Timor Leste tidak
ada liga tempatan, kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk
mempersiapkan pemain dan kami bermain dengan baik dalam perlawanan terakhir
menentang Mongolia.
“Perlawanan menentang Malaysia
esok adalah berat bagi kami kerana Malaysia sebuah pasukan kuat, tetapi kami
sudah bersedia untuk itu,” kata warga Brazil yang juga jurulatih Sukan SEA
Timor Leste itu.
Fabio, yang baru sahaja tiba
setelah menunaikan tugasnya di Sukan SEA berkata, beliau akan menurunkan enam
atau tujuh pemain muda daripada skuad Bawah 23 Tahun terkandas di peringkat
kumpulan di Singapura.
Bagi pusingan kelayakan Piala
Dunia 2018 di Rusia, yang juga pusingan kelayakan bagi Piala Asia Emiriyah Arab
Bersatu (UAE) 2019, Malaysia diundi bermain dalam Kumpulan A bersama UAE,
Palestin, Arab Saudi dan Timor-Leste. - Bernama
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 10 Jun 2015 @ 11:39 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan