Sabtu, 20 April 2019

Sudarsono yakin kemampuan Dollah

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

SUDARSONO (kiri) mentifatkan pelantikan Dollah (kanan) sebagai jurulatih Harimau Malaya sebagai langkah yang bijak berdasarkan kredibilitinya sebagai pemain dan jurulatih.

PENGURUS pasukan Harimau Malaya, Datuk Sudarsono Osman optimis kredibiliti yang dimiliki ketua jurulatih, Dollah Salleh mampu menaikkan semula maruah bola sepak negara selepas ini.

Katanya, pemilihan Dollah selaku ketua jurulatih tepat pada masanya kerana legenda bola sepak negara itu bukan sahaja berjaya sebagai seorang pemain malah membuktikan dirinya mempunyai ‘sentuhan emas’ sebagai seorang jurulatih.

“Dollah merupakan salah seorang jurulatih paling berjaya dalam kancah bola sepak negara ketika ini.

“Saya berharap, Dollah akan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada dalam dirinya untuk menaikkan semula kualiti bola sepak negara yang memerlukan standard lebih tinggi untuk bersaing di arena antarabangsa,” kata Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu kepada pemberita baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun tidak pernah bekerjasama dengan Dollah sebelum ini namun beliau bertekad memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan akan sentiasa menyokong usaha ke arah kebaikan bola sepak negara.

Pada Isnin lalu, FAM turut mengumumkan senarai penuh pegawai pasukan Harimau Malaya yang terdiri daripada Reduan Abdullah dilantik sebagai penolong jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail (penolong jurulatih 2) dan Omar Salim (jurulatih penjaga gol).

Dalam perkembangan lain, Sudarsono memberi jaminan bahawa FAS tidak akan terjejas dengan pelantikan beliau sebagai Naib Presiden FAM dan juga pengurus pasukan Harimau Malaya.

Katanya, beliau masih komited terhadap tanggungjawab besar untuk membimbing FAS walaupun dibebani dua tugas lebih besar untuk bola sepak negara.

“Tidak timbul persoalan FAS akan terabai dengan pelantikan saya sebagai Naib Presiden FAM dan pengurus pasukan Harimau Malaya.

“Namun, saya menganggap pelantikan ini memberi satu kelebihan kepada FAS. Saya menerima tugasan itu kerana minat dan yakin mampu menguruskan masa dengan baik untuk bersama dengan keluarga, kerja rutin dan persatuan,” katanya lagi.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo 26.7.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan