Jumaat, 12 April 2019

Kurang pemain rencat perancangan Tok Gajah


Rabu, 20 March 2019 | 6:16pm
 
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengesahkan skuad itu tidak dapat mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat saingan Liga Super. - NSTP/ Asyraf Hamzah
Kurang pemain rencat perancangan Tok Gajah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengesahkan skuad itu tidak dapat mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat saingan Liga Super. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana skuad Tok Gajah mengalami kekurangan pemain dan hanya menumpukan kepada sesi latihan harian untuk mengekalkan prestasi. 

"Kami hilang 11 pemain kerana mereka menyarung jersi skuad negara termasuk ada pemain yang cedera menyebabkan fokus kini lebih kepada latihan.



"Namun, saya tidak bimbang walaupun tidak dapat mengadakan aksi persahabatan kerana sembilan pemain beraksi bersama skuad negara termasuk dua pemain import, Saddil Ramdani dan Safuwan Baharudin, masing-masing mewakili Indonesia dan Singapura. 

"Saya pasti mereka berada pada prestasi terbaik kerana bersama skuad negara dengan mengharapkan prestasi mereka lebih bagus apabila kembali bersama Pahang nanti. 

"Saya cuma mendoakan mereka tidak mengalami kecederaan sepanjang bersama skuad negara," katanya.  

Sebelas pemain Pahang yang tidak menyertai latihan bersama skuad Tok Gajah ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Azam Azih yang bersama Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Airmarine 2019.

Tiga lagi pemain ialah R Dinesh, Faisal Abdul Halim dan R Kogileswaran mewakili skuad bawah 23 (B-23) bagi pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah B-23, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.

Saddil dan Safuwan, masing-masing bersama skuad kebangsaan Indonesia dan Singapura manakala Afif Amiruddin mengalami kecederaan ldan Dickson Nwakaeme pulang ke Nigeria atas urusan keluarga.

Justeru, Dollah berkata, dengan baki pemain yang ada termasuk kembalinya Muslim Ahmad yang baru pulih daripada kecederaan paha lebih menumpukan kepada aspek kecergasan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 20 March 2019 | 6:16pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan