ARKIB : 22/11/1998
PERTAHANAN Perak, Khairul Anuar Baharom bijak menyekat
gerakan pemain Negeri Sembilan, B. Rajanikandh pada perlawanan separuh akhir
pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam. Negeri Sembilan
dan Perak seri 2-2.
KELEBIHAN beraksi di gelanggang sendiri di dua
gelanggang di Stadium Likas dan Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam jelas
tidak menyebelahi tuan rumah.
Sebaliknya harapan untuk melakar suasana gembira
bertukar duka.
Langkah awal di pusingan separuh akhir pertama Piala
Malaysia sekadar mencetuskan keriangan kepada pelawat apabila Terengganu
melenyapkan keutuhan Sabah hasil kemenangan 2-0 di Likas.
Manakala Negeri Sembilan nyaris rebah setelah
ketinggalan 2-1 pada satu ketika bangkit menyamakan kedudukan dengan keputusan
2-2.
Berbekalkan kemenangan 2-0 milik Terengganu menerusi
jaringan Wan Ahmad Ridzuan (m-40) dan Samuel Chebli (m-46), impian untuk
mengapai kenangan silam layak ke perlawanan akhir pada 1982 hampir menjadi
kenyataan.
Buat Negeri Sembilan kini berdepan dengan ujian getir
berdepan dengan Perak di gelangang lawan Sabtu depan ketika Terengganu perlu
mempertahankan kelebihan dua jaringan untuk merealitikan impian layak ke akhir.
Di Stadium Likas, HARON SHAFIE melaporkan,
keunggulan Sabah bermain di gelanggang sendiri nyata tenggelam di sebalik
kehebatan Terengganu mencipta dua jaringan pada babak pertama dan kedua sudah
cukup melegakan untuk mengukir kemenangan awal.
Dalam tempoh 15 minit babak berlangsung jelas pemain
tuan rumah menguasai pentas saingan ketika Terengganu tercari-cari rentak.
Wan Ahmad Ridzuan memulakan jaringan awal Terengganu
melakukan tolakan mudah selepas penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman
Mohamad gagal menangkap kemas tandukan kencang Samuel Chebli.
Gol awal itu nyata menggamamkan seketika anak buah Ken
Shelito. Sengat Saphou Lassy penjaring terbanyak Sabah nyata tidak menjadi.
Sebaliknya Terengganu mengambil kesempatan itu sebaik
babak kedua berlangsung bekas pemain Perak, Samuel Chebli meledakkan jaringan
cantik buat kali kedua menewaskan Khairul.
SABAH: Khairul Azman
Mohamad, Veselin Kovacevic, Burhan Ajui, Andrew Majanggim, Mokhtar Dayoh,
Dunian Sulog, Henry Soimpon, Yap Wai Loon David Rocastle, Suharmin dan Saphou
Lassy.
TERENGGANU: Zubir Ibrahim,
Azman Ismail, Annuar Jusoh, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu
Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Rosdi Talib, Jean Nyima dan
Roshadi Wahab.
Manakala di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi pula, MEOR HARMAN SHAKRI melaporkan, Negeri
Sembilan hanya berpuashati mampu mencatat keputusan seri 2-2.
Perak yang beraksi di hadapan 20,000 penyokong tuan
rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan
ketinggalan 1-2 pada satu ketika.
A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila
menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89 untuk mengikat
keputusan seri.
Perak memperoleh jaringan pertama seawal minit
kesembilan apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, V. Saravanan menanduk bola
umpanan Nagaraja dari sudut kanan padang.
Gol Saravanan yang disenaraikan sebagai pelatih
kebangsaan sekali gus membakar semangat skuad Seladang untuk meneruskan corak
permainan pantas.
Reda dengan tekanan pelawat anak buah Karathu kembali
mengatur gerakan dan pada minit ke-25 gol penyamaan yang dicari disempurnakan
oleh pemain veteran Dollah Salleh.
Dollah bijak melakukan hantaran lambung selepas
mendapat lorongan cantik Rosli Omar yang sudah cukup menewaskan penjaga gol
pelawat V. Murugan.
Gol Dollah memberikan inspirasi kepada Negeri Sembilan
untuk bermain dengan lebih konsisten.
Zami Mohd. Noor yang sering mengucar-ngacirkan
pertahanan Perak gagal melakukan penyudah yang sempurna pada minit ke-27 dan 37
apabila tendangannya sering kali tersasar.
Perak terus berada pada kedudukan selesa apabila
menyumbat gol kedua pada minit ke-53 menerusi Azrul Amri Borhan.
Negeri Sembilan yang langsung tidak bermain dalam
keadaan sebenar hanya mampu bertahan.
Keyakinan Perak untuk membawa buah tangan berharga
apabila bertandang ke Ipoh tidak kesampaian apabila A. Ganeson bertindak sebagai
pemusnah menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-89.
Tendangan bebas Rosli Omar hanya dikuis masuk oleh
Ganeson yang berada pada kedudukan selesa di depan pintu gol.
Perak dan Negeri Sembilan hanya berpuas hati dengan
keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan separuh
akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Paroi malam tadi.
Perak yang di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah
gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan
ketinggalan 1-2 .
A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila
menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89.
NEGERI SEMBILAN: Faizal Zainal, B.
Rajanikandh, Ching Hong Aik, Perdo Oliviera, Ahmad Shahrul, Rosli Omar, Dollah
Salleh, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, A. Ganeson, Mohd. Yazid Yatim
PERAK: V. Murugan, Raja
Azlan, Chan Kok Heng, Khairul Anuar Baharom, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul
Amri, Chan Wing Hong, Lim Seng Kong, Janos Kreska, V. Saravanan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan