Sabtu, 20 April 2019

Dollah tak minat buat eksperimen

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
DOLLAH (dua dari kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya sebelum memulakan latihan di padang Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

AKSI persahabatan menentang Indonesia di Surabaya pada Ahad ini bukan perlawanan eksperimen.

Demikian tegas jurulatih Harimau Malaysia, Dollah Salleh semalam.

Menurut Dollah, dalam bola sepak tiada istilah eksperimen, sebaliknya pemain yang diberi tanggungjawab harus bersedia untuk beraksi pada tahap terbaik.

“Walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan, para pemain hendaklah menampilkan aksi terbaik. Tiada masa untuk buat eksperimen,” tegasnya.

Apa yang pasti, bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mahukan para pemainnya memiliki sikap untuk menang dalam apa juga perlawanan yang mereka harungi.

Pada penampilan pertama Dollah bersama skuad Harimau Malaya, mereka tewas 1-4 kepada Tajikistan di Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos lalu.

Kini, Dollah terus bekerja keras untuk membentuk satu skuad mantap dengan mencuba pelbagai kombinasi, namun menegaskan bahawa langkahnya itu bukannya untuk melakukan eksperimen.

“Saya tidak berminat dengan ‘eksperimen’. Apa yang saya lakukan adalah mencari kesebelasan utama yang benar-benar mantap.

“Dalam sesi latihan, saya telah mencuba pelbagai kombinasi dan jelas, mereka memberikan satu kerjasama dengan baik.

“Saya masih dalam fasa pemilihan pemain dan perlu melihat aksi semua pemain terlebih dahulu memandangkan masih ada yang beraksi bersama skuad Harimau Muda A di Sukan Asia.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya serius untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap dengan meneliti setiap perkembangan mereka (dalam saingan Piala Malaysia musim ini),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Dollah yang menyisihkan Razman Roslan, S. Chanturu, Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Abdul Manaf Mamat ke Surabaya ekoran masalah kecederaan, mengakui beliau teruja dengan kehadiran pemain-pemain utama menyertai kem skuad kebangsaan.

“Sebelum ini (aksi menentang Tajikistan), saya tidak memiliki banyak pilihan pemain tetapi aksi ini (menentang Indonesia), saya gembira kerana ramai pemain utama telah menunjukkan perkembangan positif.

“Kali ini, saya sedang berusaha membentuk satu pasukan kuat dan saya juga tidak mahu ketinggalan memuji pemain-pemain veteran seperti Shukor Adan yang masih boleh beraksi di peringkat tertinggi.

“Saya mengharapkan kami bebas daripada masalah kecederaan kerana selepas ini kami ada dua lagi aksi persahabatan untuk diharungi iaitu menentang Kemboja dan Terengganu pada 20 dan 24 September depan,” katanya.

Sumber-Kosmo online12.9.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan