Rabu, 17 April 2019

Dollah tabik semangat pemain

24 November 2014 2:23 AM

Pemain Malaysia, Mahali Jasuli (kanan) cuba melepasi kawalan dua
Pemain Malaysia, Mahali Jasuli (kanan) cuba melepasi kawalan dua
Pemain Malaysia, Mahali Jasuli (kanan) cuba melepasi kawalan dua pemain lawan dalam percubaannya membawa bola ke dalam petak penalti Myanmar pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam yang berkesudahan seri tanpa jaringan. – BERNAMA
SINGAPURA - Permulaan sempurna yang diharapkan dicatat Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF 2014 tidak kesampaian apabila anak-anak buah Dollah Salleh terpaksa bermain dengan 10 orang tetapi masih mampu seri tanpa ja­ringan dengan Myanmar pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Jalan Besar semalam.
Situasi itu meletakkan skuad negara berada dalam laluan getir kerana wajib menang ke atas Thailand dalam perlawanan ke­dua mereka Rabu ini jika mahu menempah tempat di separuh akhir.
Walaupun begitu, semangat perjuangan yang dipamerkan oleh Harimau Malaya wajar diberikan tabik hormat kerana masih mampu mengikat Myanmar sungguh pun kekurangan seorang pemain selama 55 minit.
Semuanya gara-gara Gary Steven Robbat yang mendapat kad merah selepas mengutip dua kad kuning.
Ini menyaksikan perlawanan ketiga berturut-turut Harimau Malaya menamatkan perlawanan de­ngan 10 pemain.
Namun, keputusan seri tanpa jaringan itu masih mampu membuatkan Dollah tersenyum, malah memuji anak-anak buahnya kerana beraksi bermati-matian biarpun lawan mempunyai kelebihan seorang pemain.
“Ini adalah perlawanan ketiga berturut-turut, termasuk dua perlawanan persahabatan, pasukan saya mendapat kad merah.
“Beraksi dengan 10 pemain, saya bangga dengan persembahan para pemain kerana memberikan 100 peratus walaupun saya rasa kita sebenarnya boleh mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Dollah agak berang dengan pemain Myanmar yang disifatkan terlalu banyak berlakon di atas padang untuk meraih simpati pengadil.
Provokasi pemain Myanmar itu dilihat banyak memberikan kesan terhadap mutu pe­ngadilan sehingga membuatkan Gary menjadi mang­sa kad merah.
Dollah juga berpendapat skuad­nya sepatutnya diberikan dua sepakan penalti, satu pada setiap separuh masa tetapi pengadil dari Turkme­nistan, Kurbanov Chaymurat tidak mengendahkan desakan kem Malaysia.
“Secara jujur saya boleh katakan para pemain Myanmar lebih fokus membuat lakonan dalam banyak insiden...maafkan atas apa yang saya cakapkan ini.
“Ada kalanya terjahan yang dilakukan oleh pemain saya langsung tidak mengenai mereka. Ini jelas dilakukan bagi memastikan para pemain saya mendapat kad kuning.
“Saya juga berasakan kami patut diberikan sepakan penalti tetapi saya tidak tahu mengapa pengadil tidak mahu beri kepada kami,” katanya.
Sebelum perlawanan semalam, kem Harimau Malaya mendapat khabar duka apabila Mohd. Muslim Ahmad tidak dibenarkan ber­aksi ke­rana perlu menjalani hukuman satu perlawanan ekoran kad merah yang diterima semasa berdepan Vietnam, 16 November lalu.
Keputusan mengejut itu dimaklumkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dalam tempoh kurang 24 jam walaupun sebelum ini mereka memberitahu Muslim boleh beraksi dalam perlawanan itu.
Ketiadaan Muslim bagaimanapun ditampung Afif Amiruddin yang bergandingan baik dengan Mohd. Fadhli Shas di bahagian te­ngah.
Sementara itu, Thailand menepati ramalan apabila menundukkan tuan rumah Singapura dalam perlawanan di Stadium Nasional.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-tabik-semangat-pemain-1.28444#sthash.yetrfjjQ.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan