Khamis, 18 April 2019

Dollah tidak rela pulang hampa


Dollah mahu Malaysia meraih kemenangan dalam final pertama menentang Thailand pada Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.

BANGKOK – Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh tidak rela berputih mata menjelang perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.

Dollah berkata, beliau akan melakukan apa sahaja bagi memastikan skuad kendaliannya tidak pulang dengan tangan kosong pada kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu.

“Kami datang ke Bangkok dengan semangat yang tinggi untuk menghadapi perlawanan akhir ini. Kami tidak ada pilihan lain. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencatat kemenangan.

“Pemain-pemain juga sudah bersedia sepenuhnya dan tidak sabar untuk beraksi. Beberapa pemain mengalami kecederaan tetapi mereka tetap bersemangat untuk beraksi.

“Kami akan melakukan tugas yang sama seperti mana ketika menewaskan Vietnam tempoh hari,” katanya.

Dollah berkata, kapten dan pemain pertahanan veteran, Shukor Adan dan Safiq Rahim mengalami kecederaan tetapi keadaan mereka tidak terlalu membimbangkan.

Katanya, Shukor yang mengalami kecederaan baru pulang dari hospital untuk melakukan pemeriksaan tetapi doktor mengesahkan dia boleh beraksi.

“Begitu juga dengan Safiq yang mengalami kecederaan lutut. Namun, dia tetap akan beraksi untuk menghadapi dua perlawanan terakhir ini,” katanya.

Dollah memberitahu, kejayaan menewaskan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi minggu lalu memberikan petanda yang baik buat anak-anak buahnya.

Selain melayakkan diri ke final, kemenangan itu turut membuktikan semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa yang dimiliki anak-anak buahnya.

Sementara itu, penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali mengakui bahawa dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan tidak sabar untuk beraksi.

“Thailand tidak pernah kalah dan masih mengekalkan rekod bersih dalam kejohanan ini. Namun, ia bukan alasan kami untuk mengaku kalah dengan mudah.

“Kami pernah bertemu di peringkat kumpulan. Meskipun kami kalah 2-3, ia memberikan pengalaman yang berguna untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3M7h8BHNUHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan