Jumaat, 7 April 2017

MPPJ, Sabah ke babak akhir



ARKIB : 28/09/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
 
BARISAN pemain MPPJ Selangor meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia selepas seri 1-1 dengan Perlis dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Utama, Kangar semalam untuk mara dengan agregat 4-2. - Gambar ISMAIL KAMADIN.


MPPJ Selangor melakar satu lagi sejarah terbesar dalam bola sepak tempatan dengan menjadi kelab pertama beraksi di pentas akhir Piala Malaysia selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Utama, Kangar semalam berkesudahan seri 1-1.

MPPJ bimbingan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh melangkah ke akhir dengan kelebihan agregat 4-2 selepas aksi separuh akhir pertama di Petaling Jaya minggu lalu memihak kepada MPPJ 3-1.

Pemain import MPPJ dari Argentina, Juan Manuel Arostegui memadamkan jaringan pembukaan pasukan tuan rumah, Philimon Chipeta pada minit ke-23 untuk mengikat perlawanan 1-1.

Pemain dari Zambia, Chipeta sebelum itu membuka harapan buat pasukan Norizan Bakar apabila menggegarkan gawang pasukan pelawat seawal minit kelima untuk menjadikan kedudukan agregat 3-2.

MPPJ akan menentang Sabah dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 4 Oktober ini. Sabah menewaskan Perak 3-1 di Stadium Perak di Ipoh untuk mara dengan agregat 4-2. Kedua-dua pasukan seri 1-1 di Likas, minggu lalu.

Perlis memulakan asakan bertali arus sejak awal perlawanan. Pada minit keempat, penyerang sensasi mereka, Chipeta nyaris menggamatkan Stadium Utama apabila bola tandukannya terkena palang gol ketika penjaga gol MPPJ, Jamsari Sabian telah tertewas.

Perlis terus berusaha memburu jaringan dan stadium lebih gamat apabila Chipeta menanduk masuk bola lontaran Adrien Jurad Chamrong dari sudut kiri yang membangkitkan semangat kesebelasan Singa Utara.

Bagaimanapun, lebih 18,000 penyokong perlis senyap seketika apabila Arostegui menanduk masuk gol penyamaan pada hasil hantaran rakan senegaranya, Bruno Martelotto untuk menjadikan kedudukan agregat 4-2.

Kedua-dua pasukan saling mengasak dan Perlis mempunyai peluang untuk menjarakkan kedudukan agregat namun dummy yang dilakukan oleh Rosle Md. Derus pada minit ke-42 berjaya dibaca oleh Jamsari.

Kekebalan benteng pertahanan MPPJ berjaya menggagalkan percubaan Perlis termasuk rembatan Lamin Conteh Jr. pada minit terakhir yang ditampan oleh Jamsari, menjadikan perlawanan babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4daKpbKEQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan