Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Aksi pemain import Sri Pahang FC, Manuel Fedrico (kiri) ketika berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Super. FOTO Farizul Hafiz Awang
Aksi pemain import Sri Pahang FC, Manuel Fedrico (kiri) ketika berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Super. FOTO Farizul Hafiz Awang
Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh percaya tempoh rehat dua bulan akan menyaksikan pasukan itu tampil lebih padu sebaik Liga Super bersambung Julai depan.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tempoh itu bertepatan ketika pasukan berkenaan menyenaraikan empat import baharu dalam memperkasakan kembali Sri Pahang.
"Bagi saya, ini masa sesuai kerana mempunyai tempoh dua bulan untuk memantapkan lagi pasukan terutama meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini.
"Pada masa sama, empat import baharu ini belum lagi mencapai tahap terbaik mereka terutama daripada segi kecergasan.
"Saya percaya tempoh dua bulan ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk memperbaiki segala kelemahan dan memantapkan lagi jentera pasukan bukan sahaja serangan, malah tengah dan pertahanan," katanya.
Sebaik jendela perpindahan dibuka 3 Mei lalu, kehadiran empat import iaitu Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia) ternyata memberi impak positif.
Pada tiga perlawanan, Sri Pahang berjaya mengutip tujuh mata sekali gus memperbaiki kedudukan di tangga kesembilan berbanding berada dua tangga tercorot liga sebelumnya.
Mengulas persembahan empat import itu, beliau berpuas hati dan percaya prestasi lebih baik bakal dipersembahkan sebaik liga bersambung nanti.
"Begitu juga kepada semua pemain yang diharap dapat meningkatkan prestasi masing-masing untuk memastikan Sri Pahang menamatkan aksi liga pada kedudukan terbaik," katanya.Disiarkan pada: Mei 12, 2021 @ 3:08pm.1
___________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/705333/tempoh-sesuai-mantapkan-sri-pahang (diakses pada 12 Mei 2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan