ARKIB : 01/10/2003
MPPJ Selangor tidak akan
bergantung kepada bintang tengah import, Bruno Martelotto yang dijangka dikawal
ketat oleh pertahanan Sabah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia,
Sabtu ini.
Jurulatih MPPJ, Dollah Salleh
akan mencatur strategi bagi membolehkan peranan Martelotto turut dimainkan
pemain lain, sekaligus memberikan sokongan terbaik buat penyerang, Juan Manuel
Arostegui dan Haris Safwan Kamal.
``Saya tahu Sabah lebih berminat
untuk mengawal Martelotto daripada Arostegui dan Haris kerana dia dianggap nadi
pasukan terutama dalam dua perlawanan separuh akhir lalu,'' kata Dollah di ibu
pejabat MPPJ, semalam.
``Saya akan memastikan kami tidak
terlalu bergantung kepadanya. Ada beberapa pemain yang saya percaya mampu
memainkan peranannya ketika dia dikawal oleh pertahanan lawan.
``Kami juga akan pastikan Haris
dan Arostegui tetap mendapat sokongan yang baik dari tengah padang sekalipun
pergerakan Martelotto disekat,'' kata Dollah lagi.
Menurut Dollah, walaupun
kesebelasan Sabah jauh lebih berpengalaman termasuk beraksi dalam perlawanan
akhir Piala Malaysia tahun lalu, namun beliau percaya MPPJ mampu menjulang
gelaran tahun ini.
Katanya lagi, beliau sebenarnya
memilih Pahang sebagai pasukan terbaik liga Malaysia musim ini melihat kepada
pembentukan skuad dan barisan pemain yang dimilikinya.
Bagaimanapun MPPJ telah menyekat
pasukan itu pada perlawanan suku akhir sebelum menyingkirkan Perlis untuk
menempah pertemuan akhir dengan Sabah.
``Kami amat menghormati Pahang
yang kami anggap pasukan terkuat tahun ini tetapi kami telah menewaskan mereka
dalam perlawanan suku akhir.
``Apa lagi yang boleh saya
katakan tentang pertemuan dengan Sabah? kami tidak berkeyakinan? sudah tentu
kami cukup berkeyakinan untuk menang.
``Melihat kepada semangat dan
kemampuan pemain-pemain kami, saya yakin tidak mustahil MPPJ akan menjuarai
Piala Malaysia.''
Sementara itu Martelotto berkata,
dia telah menyiapkan diri bagi mengatasi kawalan ketat pemain Sabah dan yakin
mampu memberikan sumbangan maksima kepada pasukan.
Katanya lagi, dia turut dikawal
ketat ketika menentang Pahang dan Perlis tetapi masih berjaya membantu pasukan
memperoleh gol, sekaligus mara ke perlawanan akhir.
``Saya sudah menjangkakan kawalan
ketat ke atas diri saya, itu yang mereka katakan sejak awal lagi. Tetapi saya
bersedia untuk melihat sejauh mana pemain mereka dapat mengekang pergerakan
saya,'' kata Martelotto.
``Saya tidak begitu terkejut
apabila MPPJ mara ke perlawanan akhir, saya tahu kami kuat di bahagian tengah
dan ia menjadi nadi pasukan dalam setiap perlawanan.
``Saya percaya kami mampu
menjulang Piala Malaysia, tetapi sudah tentu selepas mengharungi perlawanan
yang amat sukar.''
Sabah kempunan untuk muncul juara
buat kali pertama selepas dikecewakan oleh Selangor menerusi jaringan
sudden-death pada perlawanan akhir tahun lalu.
Pasukan itu mara ke akhir dengan
menundukkan pilihan utama, Perak menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-1 di
gelanggang lawan pada separuh akhir kedua.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dcCGsvDV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan