ARKIB : 29/09/2003
Bicara Tekong
REAKSI peminat bola sepak
tanahair pastinya berubah selepas menyaksikan pasukan kelab MPPJ Selangor
berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Paling tidak, mereka akan
menggosokkan mata berkali-kali, benarkah MPPJ Selangor yang akan bermain di
persada akhir menentang pasukan Negeri Di Bawah Bayu - Sabah.
Malahan mungkin ramai yang
berkata `tak percaya ke', di atas kejayaan luar biasa MPPJ Selangor selepas
berjaya menjinakkan `Singa Utara' dengan aksi mantap dan cukup bertenaga pada
babak separuh akhir kedua, kelmarin.
Namun, inilah hakikat yang harus
diterima oleh seluruh peminat bola sepak tanahair dan barisan MPPJ Selangor
harus diberi pujian kerana mereka telah pun membuktikan pasukan kelab mampu
ditadbir dengan baik.
Hasilnya, mereka telah mendahului
pasukan negeri dan menjadi antara kelab yang semakin disegani di persada bola
sepak tanahair.
Tekong tidak hairan, MPPJ
Selangor mungkin akan melakukan satu lagi kejutan pada babak akhir, jika
prestasi semasa yang ditunjukkan itu dapat terus dikekalkan, di samping memperkukuhkan
lagi benteng pertahanan dalam menghadapi Sabah - pasukan yang cukup
berpengalaman dalam Piala Malaysia ini.
Satu perkara lagi yang perlu
diambil peringatan kepada peminat bola sepak, khususnya para penyokong ialah,
bagaimana kita akan memastikan stadium perlawanan akhir itu dipenuhi - sama ada
ia datang dari penyokong MPPJ Selangor, mahupun Sabah ataupun peminat bola
sepak negara.
Ini tugas yang harus difikirkan
oleh kelab penyokong. Bagi MPPJ Selangor, inilah masanya mereka mengharapkan
sokongan khusus dari penduduk di sekitar Petaling Jaya untuk bersama-sama hadir
sebagai penyokong tulen dalam memastikan pasukan kelab ini dapat mencatat satu
lagi sejarah dalam bola sepak negara.
Hal yang sama juga perlu
difikirkan buat penyokong Sabah. Bagaimana mereka mahu hadir untuk memberikan
sokongan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ini, perlu digerakkan segera.
Penyokong `anak Sabah' yang
berada di Semenanjung harus bangkit mengumpulkan barisan yang ramai agar
stadium itu boleh dibanjiri ribuan anak watan demi sokongan padu ke atas Negeri
Di Bawah Bayu ini.
Tetapi satu aspek yang menjadi
tanda soal dalam diri Tekong ialah bagaimana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
mahu meletakkan status pasukan kelab, jika prestasi sebegini berterusan dan
mereka lebih menyerlah daripada pasukan negeri.
Mungkin, suatu hari nanti,
persada bola sepak negara akan `hilang' imej pasukan negeri, sebaliknya
menyaksikan pertandingan antara kelab yang lebih terbuka dan nyata semakin
menarik.
Maka tidak hairanlah, ramai penyokong
kini mula `mengejar' jersi pasukan MPPJ Selangor untuk menambah satu lagi
koleksi jersi yang terkumpul dan dalam konteks `keuntungan' - ia akan
menghasilkan produk perniagaan yang baik.
Kini terpulanglah kepada MPPJ
Selangor untuk terus berada dalam reputasi terbaik mereka dan bagi
jurulatihnya, Dollah Slleh, Tekong ucapkan selamat berjaya.
Buat pasukan Sabah, Tekong yakin
semangat kesukanan yang ditunjukkan pada aksi separuh akhir kedua lalu, mampu
diteruskan dalam aksi akhir ini dan menjadi aset utama dalam memburu kejayaan
Piala Malaysia - selamat beraksi.
Apapun, perlawanan akhir Piala
Malaysia kali ini pasti mencatat beberapa sejarah dan sebagai peminat bola
sepak, kita tunggu dan lihat, apa yang akan dicetuskan oleh kedua-dua pasukan
itu nanti.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4daNnON5f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan