ARKIB : 14/09/2003
PEMAIN Sarawak, Sapian Abdul
Wahid (kiri) cuba dihalang oleh pemain pertahanan Perak, Faizal Zainal dalam
perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sarawak,
semalam. Sarawak menang 3-2. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.
MAJLIS Perbandaran Petaling Jaya
(MPPJ) Selangor melakar sejarah dalam bola sepak Piala Malaysia apabila menjadi
pasukan pertama bertaraf kelab yang beraksi dalam separuh akhir selepas gagah
menundukkan Pahang 3-2 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Petaling Jaya,
semalam.
Pasukan pilihan, Perak tumpas 3-2
di Sarawak tetapi jaringan kedua oleh Frank Seator cukup untuk membawa Seladang
ke separuh akhir dengan agregat 4-3.
Di Selayang, Perlis turut
menempah tempat ke separuh akhir selepas menang 3-0 untuk merakam kemenangan
agregat selesa 5-0 ke atas Public Bank.
Sabah mengisi slot terakhir ke
separuh akhir dengan mencatat kejayaan 3-1 untuk agregat 4-1 ke atas Kedah di
Alor Star.
Di Stadium Petaling Jaya,
kejayaan bersejarah MPPJ hadir menerusi sentuhan bintang importnya, Juan Manuel
Arostegui yang menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir untuk MPPJ
melangkah ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
Kedua-dua pasukan seri tanpa
jaringan pada suku akhir pertama di Kuantan.
Pahang membuka jaringan menerusi
penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar pada minit ke-11 tetapi Haris Safwan membalas
untuk tuan rumah pada minit ke-26.
Babak pertama berakhir 1-1 dan
kedua-dua pasukan terutama MPPJ lebih bersemangat memulakan babak kedua.
Begitupun, Pahang menyentap
semangat MPPJ apabila menjaringkan gol kedua lima minit selepas babak kedua
bermula menerusi Helton Soares.
Namun seorang lagi pemain import
MPPJ, Bruno Sebastian Martelotto meredakan panik kem bimbingan Dollah Salleh
dengan jaringan penyamaan 13 minit kemudian sebelum Arostegui menggamatkan
Stadium Petaling Jaya dengan jaringan kemenangan.
Di Stadium Sarawak di Kuching,
tuan rumah sudah terbayang awal tempat ke separuh akhir apabila mendahului
selesa 3-0.
Wong Sai Kong membuka jaringan
pada minit kesembilan dan menambah jaringan kedua Sarawak pada minit ke-36.
Penyerang, Sapian Wahid
mengukuhkan pasukan Bujang Senang dengan jaringan ketiga pada minit ke-61.
Bagaimanapun, Perak yang menang
2-0 di Ipoh Rabu lalu, bangkit pada 10 minit terakhir dengan bintang India,
Baichung Bhutia menyemarakkan rakan sepasukan dengan jaringan pertama Perak
pada minit ke-81.
Seator yang pada mulanya dijangka
tidak diturunkan, menjaringkan gol kedua yang memberi kemenangan kepada Perak
pada minit terakhir.
Stadium Darulaman di Alor Star
nyata tidak membawa tuah buat Kedah apabila tewas 3-1 kepada Sabah untuk
menyerahkan tempat ke separuh akhir kepada Badak dengan agregat 4-1.
Sabah menang 1-0 pada suku akhir
pertama di Likas, Rabu lalu.
Kekewaan penonton Hijau Kuning
sudah terpancar lebih awal apabila Robert Mark Gaspar menggegar jaring Kedah
untuk gol pertama Sarawak pada minit keempat.
Sesudah itu, Kedah langsung
hilang tumpuan sehingga Bobby Gonzalez menemui sentuhan penyudah dua kali pada minit
ke-52 dan 82 untuk Sabah selesa 3-0.
Mohd. Rafdi Rashid menaikkan
sedikit semangat rakan sepasukan apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada
minit ke-87 tetapi Kenari sudah tiada masa untuk berusaha terbang tinggi.
Di Stadium Selayang, jaringan Lamin
Conteh Jr, Mohd. Kaironnisam Shahabuddin dan Phillimon Chipeta memadamkan
impian tinggi Public Bank untuk ke separuh akhir dengan kemenangan 3-0 dan
mencipta agregat besar 5-0.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dYYt6dsL
© Utusan Melayu (M) BhdSUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan