ARKIB : 15/09/2003
Oleh Haradian Shah Hamdan
PEMAIN-pemain MPPJ Selangor
diberikan ucapan tahniah oleh para penyokong mereka selepas berjaya menumpaskan
Pahang 3-2 pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di
Stadium Petaling Jaya semalam. - Gambar Raja Jaafar Ali.
SELEPAS melakar sejarah menjadi
pasukan bertaraf kelab pertama mara ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia,
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor mahu terus mencipta kejutan
dengan beraksi dalam perlawanan akhir pula.
Pengurus MPPJ, Redzuan Sintol
berkata, berdasarkan persembahan dalam beberapa perlawanan lalu, matlamat itu
bukan mustahil untuk dicapai oleh kelab tersebut.
``Kita sudah melangkah jauh dan
ini membuktikan pemain-pemain kita setanding dengan pemain pasukan lain
terutama dari Perdana Satu.
``Jadi, saya yakin kita mampu
melayakkan diri ke perlawanan akhir seterusnya mencipta satu lagi sejarah dalam
Piala Malaysia,'' katanya ketika dihubungi, semalam.
MPPJ menjadi pasukan kelab sulung
menjejakkan kaki ke separuh akhir kejohanan bola sepak berprestij di negara ini
selepas mengalahkan Pahang dengan agregat 3-2, kelmarin.
Sejak mula dipertandingkan pada
tahun 1921 dan dikenali sebagai Piala Malaya, kejohanan berprestij itu hanya
disertai pasukan negeri selain dua pasukan negara jiran, Singapura dan Brunei.
Dalam masa yang sama, Redzuan
berharap, pemain-pemain dapat mengekalkan corak permainan yang diterapkan
jurulatih, Dollah Salleh yang menekankan aspek kepantasan dan sentiasa mengejar
bola.
``Pemain-pemain dapat bekerjasama
dengan baik dan dua pemain import kita juga memberi sumbangan besar kepada
pasukan,'' katanya.
Kelab itu bakal bertemu lawan
yang lebih `garang', Perlis dalam perlawanan separuh akhir di gelanggang
sendiri, Sabtu ini.
Jelas Redzuan, MPPJ pernah
bertemu Perlis sebelum ini dan mempunyai sedikit pengetahuan mengenai kekuatan
pasukan tersebut terutama barisan serangan yang dikepalai dua awang import,
Philimon Chepita dan Lamin Conteh.
``Kita sedar ancaman kedua-dua
pemain itu tetapi dengan peningkatan pemain pertahanan terutama Yuzaiman
(Zahari) dan Rauf (Ahmad), kita boleh menyekat mereka,'' katanya.
Satu lagi pertemuan separuh akhir
ialah di antara juara Perdana Satu, Perak dan naib juara Piala Malaysia 2002,
Sabah
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dYhPHfh0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan