ARKIB : 17/01/2004
TIDAK ada tekanan keterlaluan
yang dirasai oleh jurulatih MPPJ, Dollah Salleh menjelang pertemuan pasukan
bimbingannya dengan juara Piala FA, Negeri Sembilan pada perlawanan bola sepak
merebut Piala Sultan Ahmad Shah malam ini.
Biarpun menyedari pengkritik dan
peminat bola sepak negara kini meletak harapan tinggi selepas kelab itu
menjuarai Piala Malaysia musim lalu, Dollah lebih senang untuk mengelak
daripada tekanan tersebut.
``Saya tahu ramai yang menunggu
untuk melihat aksi MPPJ musim ini dan sama ada kami mampu bersaing selepas
muncul juara Piala Malaysia tahun lalu.
``Tapi saya anggap perlawanan
esok (malam ini) sama seperti perlawanan yang lain.
``Kami buat persiapan seperti
biasa dan saya tak mahu terlalu menekan diri saya dan pemain-pemain,'' katanya
semalam.
Bagaimanapun, menurut Dollah, itu
tidak bermakna beliau memandang ringan pertemuan pembuka tirai Liga Malaysia
2004 yang akan diadakan di Stadium MPPJ di Kelana Jaya itu.
``Sudah tentu saya mahu memenangi
piala ini kerana ia titik permulaan kepada cabaran MPPJ musim ini.
``Selain menambah koleksi
kejuaraan kelab ini, saya mahu memulakan musim 2004 dengan `langkah kanan',''
ujarnya.
Menurut Dollah lagi, beliau juga
belum pasti sama ada dapat menurunkan tenaga import baru, Fabricio Rene Franchesci
kerana masih belum memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain dari
Argentina itu .
Dalam masa yang sama, Dollah
tidak menyembunyikan kebimbangan dengan ketiadaan ayam tambatan dari Argentina,
Juan Manuel Arostegui yang menjaringkan hatrik ketika menundukkan Sabah 3-0
pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.
``Memang ada sedikit masalah di
bahagian itu kerana gandingan baru, Nizaruddin (Yusof) dan Haris (Safwan Kamal)
masih mencari persefahaman.
``Tetapi sejak seminggu lalu mereka
makin serasi dan saya harap mereka dapat menunjukkan persembahan baik nanti,''
jelasnya yang turut mengharapkan aksi cemerlang seorang lagi pemain import,
Bruno Martelotto.
Dollah turut menganggap lawan
mereka, Negeri Sembilan sebagai pasukan yang lebih mantap berbanding musim lalu
berikutan kemasukan beberapa pemain berpengalaman ke dalam skuad bimbingan K.
Devan itu.
``Mereka lebih bersedia kerana
diperkuatkan beberapa pemain seperti Anuar Jusoh dan Shahrin Majid selain B.
Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dkmwoQvp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan