Pertemuan dengan JDT dedahkan kelalaian benteng Pahang
PEMAIN
Pahang meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir Piala FA selepas
menewaskan JDT dengan agregat 4-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Johor Bahru semalam. BERNAMA
KUANTAN
24 April - Kebangkitan pemain Pahang pada babak kedua permainan dengan
bermain mengikut disiplin menjadi antara faktor yang membantu Tok Gajah
melangkah ke separuh akhir Piala FA menerusi kemenangan agregat 4-3 ke
atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Johor Bahru malam tadi.
Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah
Salleh mengakui, JDT bermain lebih baik sepanjang 30 minit awal
permainan manakala anak buahnya kelihatan agak leka khususnya di
bahagian pertahanan yang menyebabkan pasukan tuan rumah mengambil
kesempatan dengan menjaringkan dua gol pada babak awal.
“Saya lihat Pahang tidak bermain dengan begitu
baik pada separuh masa pertama. Hanya pada separuh masa kedua mereka
mula bermain mengikut displin seperti yang diterapkan semasa latihan.
“Pahang tidak banyak mencipta peluang dan yang
ada pada minit-minit akhir permainan. Alhamdulillah, peluang itu
dimanfaatkan dengan baik,” katanya di sini hari ini.
Perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA di
Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos itu berkesudahan JDT menundukkan
Pahang 2-1 namun skuad Tok Gajah mara ke peringkat separuh akhir
menerusi agregat 4-3 selepas menang 3-1 di Kuantan pada 1 April lalu.
JDT menjaringkan gol pembukaan menerusi pemain
dari Argentina, Gonzalo Cabrera seawal minit keenam disusuli jaringan
Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22 namun Pahang yang tidak mudah
patah semangat dilihat beransur-ansur memperkemaskan permainan dan
jaringan penyerang importnya dari Gambia, Mohamadou Sumareh empat minit
sebelum permainan berakhir menyingkirkan skuad Harimau Selatan selaku
penyandang gelaran juara musim lalu.
Pahang yang kali terakhir menjulang Piala FA pada
2014 akan bertemu Negeri Sembilan dalam separuh akhir pertama Piala FA
Jumaat ini.
Menurut Dollah, dia kurang berpuas hati dengan
aksi anak buahnya dalam perlawanan tersebut dan perlu diperbaiki segera
bagi mengharungi baki saingan Liga Super.
Katanya, dia mahu lebih fokus terhadap kelalaian
dipamerkan skuad Tok Gajah yang menyebabkan mereka bolos dua gol ketika
babak pertama.
Sementara itu, Sumareh menyifatkan perlawanan
menentang JDT sebagai aksi penuh cabaran dan tugas menghadapi pasukan
Harimau Selatan berkenaan perlu dilaksanakan dengan kesabaran tinggi.
“Perlawanan dengan JDT tidak pernah mudah kerana
mereka sentiasa memaksa kami bekerja keras hingga minit-minit terakhir
tanpa ingin berputus asa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan