Jumaat, 7 April 2017

MPPJ bawa semangat baru



ARKIB : 04/10/2003

Oleh ZAINI RABAN

MPPJ Selangor turun beraksi hari ini dalam pertemuan akhir Piala Malaysia dengan `semangat baru' untuk membuktikan pasukan kelab seperti mereka mampu mengucar-kacirkan benteng lawan pasukan negeri - Sabah.

Ini diperoleh pasukan `Black Widow' dalam majlis bersarapan pagi dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di Bukit Melawati, Shah Alam, semalam.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, baginda telah memberikan kata-kata perangsang kepada barisan pemain pasukan kelab berkenaan supaya berjuang habis-habisan ketika berdepan skuad Badak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

``Beta harap pemain akan bermain dengan bersungguh-sungguh supaya Piala Malaysia dapat dibawa ke Selangor.

``Malah beta sendiri akan pergi menyaksikan perlawanan akhir itu sebaik sahaja pulang dari Langkawi'' titah baginda.

Menurut baginda, walaupun hanya berstatus kelab, kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil sebagaimana yang telah MMPJ buktikan ketika menewaskan pasukan berstatus negeri yang lebih handal sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri berjanji akan memberi habuan sewajarnya kepada pasukan MPPJ jika berjaya muncul juara Piala Malaysia.

``Sebenarnya kerajaan negeri telah membincangkan mengenai habuan untuk pemain bagaimanapun belum ada keputusan yang dibuat.

``Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan rasa bangga kerajaan negeri dengan kebijaksanaan jurulatihnya, Dollah Salleh yang memimpin MPPJ hingga ke tahap ini,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dcOjsyZH
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan