ARKIB : 26/09/2003
SEMANGAT juang yang tinggi di
kalangan para pemain kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor,
bakal menjadi senjata terbaik untuk mereka membenam cabaran Perlis dalam
saingan separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia, esok.
Presiden kelab itu, Datuk Abd.
Karim Munisar berkata, kemampuan menangani asakan lawan dan mempamerkan
semangat melawan terbukti menjadi aset penting yang membolehkan kelab itu
melangkah jauh dalam kejohanan itu.
Sambil menganggap pemain-pemain
kelab itu mempunyai semangat juang setanding pasukan Korea Selatan pada Piala
Dunia 2002 lalu yang menumbangkan pasukan pilihan seperti Itali dan Sepanyol,
beliau yakin MPPJ mampu mencatat sejarah menjadi kelab pertama mara ke
perlawanan akhir.
``Pemain-pemain berada pada tahap
terbaik ketika ini dan jika mereka dapat menunjukkan semangat seperti dalam
beberapa perlawanan sebelum ini, kita tidak menghadapi masalah menewaskan
Perlis,'' katanya pada sidang media di Petaling Jaya semalam.
MPPJ akan bertemu Perlis malam
esok di Stadium Utama dengan berbekal kelebihan dua gol selepas menang dalam
pertemuan pertama di tempat sendiri 3-1, Sabtu lalu.
Kelab bimbingan jurulatih Dollah
Salleh itu sebelum ini mencipta sejarah menjadi pasukan bertaraf kelab pertama
layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Pahang dengan agregat
3-2 di suku akhir.
Menurut Abd. Karim, pemain-pemain
tidak perlu merasa rendah diri kerana mereka sebenarnya membawa cabaran
Selangor, sebuah negeri yang mempunyai sejarah tersendiri dalam arena bola
sepak tempatan.
``Kerajaan negeri Selangor
memberi sokongan moral dan membantu menggerakkan penyokong-penyokong negeri itu
membantu MPPJ,'' ujarnya.
Malah katanya, kerajaan negeri
itu berjanji akan memberi ganjaran kepada pemain-pemain sekiranya mampu
mencatat kejayaan dalam saingan Piala Malaysia.
``Selain itu, pengurusan MPPJ
juga akan memberikan ganjaran tertentu, tetapi kita tak mahu dedahkan bentuk
ganjaran itu ketika ini.
``Memang ada yang sesuatu yang
kita janjikan. Saya harap ia akan mendorong pemain-pemain bermain dengan
baik,'' katanya.
Ujarnya, pemain-pemain tidak
perlu bimbang dan tertekan ketika beraksi di Kangar kerana mereka bakal diiringi
sorakan peminat setia yang datang dari Lembah Klang.
``Sebanyak 3,000 tiket telah
diperuntukkan kepada penyokong-penyokong yang akan bergerak secara konvoi
menggunakan 60 buah bas ke Perlis esok (hari ini) dan kita yakin MPPJ tidak
akan kalah dari segi sorakan ketika bertemu tuan rumah nanti,'' ujarnya.
Tambah Abd. Karim, berikutan
permintaan tinggi dari peminat sebanyak 1000 lagi tiket berharga RM8 akan
dijual hari ini di Holiday Villa, Alor Star, Kedah mulai 10.30 pagi hingga
10.30 malam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4da3Kw6IU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan