MATHEUS ALVES LEANDRO (kanan)
sempat menyungkit bola melepasi penjaga gol JDT, Mohd. Izham Tarmizi Roslan
untuk menjaringkan gol kedua Pahang dalam perlawanan suku akhir pertama Piala
FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Mohamad Shofi Mat Isa
03 April 2017 12:24 AM
KUANTAN 2 April - Kejayaan Pahang
menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi dengan kelebihan dua gol belum
menjamin kedudukan mereka dalam separuh akhir Piala FA, kata Dollah Salleh.
Bekas jurulatih kebangsaan itu
juga menganggap perlawanan malam tadi dimenangi pasukannya kerana pemain-pemain
tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol meskipun mereka tidak beraksi
pada tahap sebenar dan perlawanan lebih banyak dikuasai oleh pelawat.
Pahang menggunakan kesempatan
beraksi di tempat sendiri dalam suku akhir pertama dengan mencipta kemenangan
3-1 hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya (minit ke-13), Matheus Alves (minit
ke-46) dan Chinedu Dike (minit ke-66), manakala gol tunggal JDT dijaringkan
oleh Marcos Antonio pada minit ke-21.
“Kami tidak bermain dengan baik
pada malam ini (semalam) dan JDT dilihat lebih menguasai permainan dan
kemenangan ini satu bonus atas kelebihan pemain yang tidak mensia-siakan
peluang atas kesilapan pasukan lawan.
“Kita masih ada 90 minit lagi
masa perlawanan dengan JDT dan itu bukan satu jalan mudah. Bagaimanapun
keputusan kali ini amat membanggakan meskipun persembahan jauh berbeza dengan
apa yang selalu dipamerkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas
perlawanan.
Malah, jurulatih Tok Gajah itu
menganggap satu gol yang berjaya dijaringkan JDT di Stadium Darul Makmur
bermakna Harimau Selatan yang memiliki kelebihan untuk pertemuan kedua di Johor
Bahru pada 23 April nanti, gelanggang di mana mereka belum kalah sejak musim
lalu.
“Secara keseluruhannya,
mereka (pemain Pahang) mempamerkan aksi yang baik, namun masih banyak yang
perlu dibaiki sebelum ke Larkin. Saya tidak menafikan sokongan padu penyokong
Tok Gajah banyak membantu meningkatkan semangat pemain.
“Untuk suku akhir kedua, saya
harap pemain bersedia dari aspek mental dan fizikal kerana kita bukan saja
berdepan dengan skuad Harimau Selatan, tapi bakal berdepan penyokong setia di
gelanggang mereka,” katanya.
Sementara itu, jurulatih JDT,
Benjamin Mora berkata beliau dan pembantunya akan meneliti kesilapan dilakukan
pemainnya di Stadium Darul Makmur untuk diperbaiki sebelum perlawanan suku
akhir kedua di Larkin.
Jurulatih dari Mexico itu
menegaskan, dia akan memastikan bahawa pertemuan semula antara JDT dan Pahang
akan berpihak kepada mereka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kedudukan-pahang-belum-terjamin-1.464884#ixzz4dGnHiGlH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan