ARKIB : 05/10/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH dan
JOHARI SHAWAL
BARISAN pemain bola sepak MPPJ
Selangor bersama Piala Malaysia yang dimenangi selepas menewaskan Sabah 3-0
dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - Gambar
ABDUL RAHMAN SALLEH.
MPPJ mencipta sejarah apabila
buat pertama kali menjuarai bola sepak Piala Malaysia 2003 dengan menewaskan
Sabah 3 - 0 dalam perlawanan akhir penuh mendebarkan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil, semalam.
Penyerang import berbisa MPPJ,
Juan Manuel Arostegui melakukan hatrik untuk memastikan kejayaan pasukannya
menerusi jaringan penalti minit ke-13, 64 dan 90.
Bagi MPPJ yang dibimbing
jurulatih Dollah Salleh, kejayaan tersebut cukup bermakna kerana menjadi
pasukan bertaraf kelab yang pertama menjulang Piala Malaysia.
Sementara, bagi Sabah pula,
kegagalan tersebut paling mengecewakan selepas mencubanya dalam perlawanan
akhir sebanyak tiga kali. Kali pertama Sabah ke perlawanan akhir ialah pada
1996, diikuti pada tahun lalu tetapi kedua-duanya tewas kepada Selangor.
Tambah memilukan, Sabah terpaksa
beraksi 10 pemain dalam separuh masa kedua apabila pemain tengahnya, K.
Sanbagamaran menerima kad kuning kedua kerana tindakannya menjatuhkan diri di
dalam kotak penalti MPPJ.
Di hadapan kira-kira 60,000
penonton termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kedua-dua pasukan
memulakan permainan dengan aksi yang memberangsangkan.
Jelas, kelincahan pemain import
MPPJ Bruno Sebastian Martelotto dan Arostegui menjadi ancaman besar buat Sabah.
Akhirnya apa yang dibimbangkan
Sabah berlaku apabila Arostegui menjadi punca kekalutan di depan dalam kotak
penalti skuad badak.
Bermula gerakan cantiknya
menggelecek Madzalan Emoi, kelincahan Arostegui terus menggugat sehingga
menyaksikan ketua pasukan Sabah, Jelius Ating tidak mempunyai pilihan, selain
menjatuhkan pemain import dari Argentina itu.
Ini memaksa pengadil, Halim Abdul
Hamid menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Arostegui menerusi
rembatan kencang menggegar gawang pada minit ke-13.
Separuh masa kedua menyaksikan
gandingan Martelotto dan Arostegui semakin menjadi. Hantaran Martelotto dikawal
cantik Arostegui di depan pintu gawang Sabah sebelum mudah menolak masuk
mengatasi Khairul Azman pada minit ke-64 untuk melengkapkan kemenangan Sabah.
Sementara itu, hampir 60,000
peminat membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil untuk menyaksikan pertemuan
bersejarah antara Sabah dengan kelab pencipta rekod, MPPJ Selangor dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia semalam.
Perlawanan semalam adalah kali
ketiga buat Sabah. Dua kali sebelumnya mereka tewas kepada Selangor pada 1996
dan 2002.
Kata-kata semangat kepada
hero-hero mereka disuarakan menerusi kain rentang berbunyi seperti `King of
Borneo', `Sabah Tatap' dan `Sabah Boleh...Badak pun Boleh...Sabah Tatap Juara
Piala Malaysia 2003'. Saingan mereka tidak kurang hebatnya dengan kata-kata
`MPPJ New Hero', `MPPJ `U' `R' da Best' dan `MPPJ pasti Juara'.
Suasana hangat benar-benar terasa
sejak petang apabila sekitar Kompleks Sukan Negara mula diserbu oleh para
penyokong kedua-dua pasukan.
Keadaan hingar-bingar di dalam
stadium oleh jeritan para penyokong ditambah oleh bunyi bising disebabkan oleh
sebahagian penonton yang menghentakkan kaki mereka pada meja-meja di sebelah
kanan tempat duduk petugas media.
Bagaimanapun, perkara yang paling
tidak diperlukan oleh bola sepak tempatan iaitu letupan mercun masih kedengaran
dan semakin rancak beberapa minit sebelum permainan dimulakan oleh pengadil,
Halim Abdul Hamid.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcW5WhwR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan