ARKIB : 23/09/2003
MAJLIS Perbandaran Petaling Jaya
(MPPJ) Selangor akan hadir ke Kangar untuk aksi separuh akhir kedua bola sepak
Piala Malaysia menentang Perlis Sabtu ini dengan anggapan tanpa sebarang
bekalan gol, lapor JOHARI SHAWAL.
Jurulatihnya, Dollah Salleh
berkata, anggapan itu lebih mudah daripada memikirkan kelebihan defisit dua gol
yang sebenarnya memberi lebih tekanan.
``Kami anggap kehadiran kami ke
Kangar dengan agregat 0-0. Dengan cara itu kami boleh bermain lebih serius.
``Saya mahu pemain memberi lebih
tumpuan terhadap permainan dan tidak memikirkan kelebihan yang ada itu,''
katanya.
Dollah yang juga bekas pemain
kebangsaan berkata, mereka juga akan beraksi di Kangar sebagai sebuah pasukan
underdog dan tidak akan sekali-kali memikirkan mereka hadir selaku pasukan
pilihan.
``Perlawanan ada 90 minit lagi
dan dalam tempoh itu macam-macam boleh berlaku. Kita tidak harus terlalu yakin
dengan kelebihan yang kita miliki.
``Bermain di gelanggang lawan
selalunya memihak kepada pasukan tuan rumah tetapi jika kita memusatkan tumpuan
kepada permainan dan mengambil serius, kita boleh berjaya,'' katanya selepas
mengendali latihan pasukannya di Stadium Petaling Jaya, semalam.
MPPJ hanya setapak sahaja lagi
untuk melakar sejarah terbesar dalam bola sepak tempatan khususnya dalam kempen
Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perlis dalam separuh
akhir pertama di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
MPPJ menjadi pasukan kelab
pertama mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan bakal meneruskan kecemerlangan
itu jika berjaya melangkah ke akhir pada 4 Oktober ini.
Dollah berkata, dia akan
menggunakan strategi yang sama dengan barisan kesebelasan utama yang sama untuk
perlawanan Sabtu ini.
``Semua pemain berada dalam
keadaan amat bersedia untuk perlawanan Sabtu ini. Suasana dalam kem juga begitu
ceria dan saya berharap situasi seperti itu akan berterusan,'' katanya.
Dollah berkata, dua pemain
importnya, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Sebastien Martelotto yang
masing-masing menjaringkan gol ke atas Perlis Sabtu lalu, bersedia untuk
memberi satu lagi kejayaan buat MPPJ.
``Begitu juga dengan pemain lain
termasuk Haris (Safwan Kamal) dan Khairil (Zainal) yang amat bersedia untuk
perlawanan itu,'' tambahnya.
Dalam pada itu, Dollah berterima
kasih kepada Yang Dipertua MPPJ, Datuk Abdul Karim Munisar kerana memberi
kepercayaan kepadanya membimbing pasukan MPPJ.
``Beliau juga memainkan peranan
besar di atas kejayaan MPPJ sehingga mampu mara ke peringkat ini (separuh
akhir). Komitmen tinggi beliau kepada pasukan telah meningkatkan semangat kami
sepanjang kempen ini.
``Beliau seorang yang mengambil
berat atas kemajuan pasukan serta semua pemain yang menjadikan semua orang
dalam pasukan MPPJ begitu senang dengannya,'' tambah Dollah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dZlTvkoU
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB :
22/09/2003
Tiada ulasan:
Catat Ulasan