Jumaat, 7 April 2017

MPPJ rancang strategi khas



ARKIB : 19/09/2003
JURULATIH Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Dollah Salleh telah merangka strategi khas bagi menyekat ancaman dua pemain import Perlis, Philimon Chipeta dan Lamin Conteh pada perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Malaysia, esok, lapor Haradian Shah Hamdan.

Menurut Dollah, kedua-dua pemain itu bakal menjadi `duri dalam daging' kepada MPPJ, justeru dia mahu membataskan pergerakan mereka pada perlawanan itu.

``Gandingan Chipeta dan Conteh adalah antara yang terbaik musim ini dan mereka menjadi nadi kepada Perlis.

``Jika tidak dihalang mereka mampu memusnahkan impian kita mencipta sejarah menjadi kelab pertama mara ke perlawanan akhir,'' kata Dollah ketika ditemui selepas latihan skuad MPPJ di Kelana Jaya, semalam.

Turut hadir melihat persiapan kelab itu ialah Yang Dipertua MPPJ, Datuk Abdul Karim Munisar dan pengurus Redzuan Sintol.

Dalam pada itu, Dollah memberitahu persiapan pasukannya sedikit terjejas selepas tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Azrin Shah Zainal yang cedera, manakala tonggak pertahanan, Yuzaiman Zahari masih belum pulih sepenuhnya daripada demam.

Bagaimanapun, Dollah lega kerana pemain itu sudah mula sembuh dan dijangka dapat beraksi menentang Perlis.

``Keadaannya tak begitu serius dan Yuzaiman sudah turun menjalani latihan bersama rakan-rakan yang lain, petang ini (semalam),'' katanya.

Difahamkan selain Yuzaiman, beberapa pemain lain baru sahaja pulih dari masalah demam dan batuk yang dialami selepas pertemuan menentang Pahang dalam suku akhir kedua, Sabtu lalu.

Sementara itu, MPPJ mendapat suntikan semangat apabila sebahagian penyokong pasukan Selangor, bakal membanjiri Stadium MPPJ bagi menyokong kelab itu.

Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Pasukan Merah Kuning Selangor, Roslan Misiran berkata, para penyokong Selangor telah diminta turun menyaksikan perlawanan esok dan dianggarkan 20,000 peminat bakal membanjiri Stadium MPPJ.

``Selepas Selangor tersingkir, kita merasa perlu untuk memberi sokongan kepada MPPJ yang merupakan gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS),'' katanya selepas pertemuan dengan pengurusan MPPJ bagi menyatakan sokongan kelab penyokong itu, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dZLMIxFX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan