Sabtu, 29 April 2017

Dollah, Bambang pilihan Selangor

ARKIB : 21/10/2004
BAMBANG Pamungkas dihalang pemain Malaysia, Akmal Rizal Rakhli (kanan) dalam satu aksi separuh akhir Piala Tiger 2002 di Jakarta. Penyerang sensasi Indonesia itu kini cuba dipikat oleh Selangor bagi membawa cabaran Liga Malaysia musim depan.


TEKA-teki siapa jurulatih Selangor musim depan akhirnya terjawab.
Tiada kesangsian lagi jurulatih MPPJ, Dollah Salleh yang juga bekas pemain skuad Merah Kuning pada awal tahun 80an akan menggalas cabaran selaku jurulatih untuk mengembalikan semula kegemilangan Selangor musim depan.
Kehadiran Dollah sememangnya dinantikan oleh Selangor selepas pasukan itu menempuh liku mengecewakan musim ini.
Segala keperitan juara 29 kali Piala Malaysia musim ini, merumuskan angin perubahan baru ke atas jurulatih dan pemain perlu dilakukan untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad Merah Kuning musim depan.
Bukan lagi perkara yang perlu disembunyikan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan segala rundingan diatur begitu rapi bagi memastikan Dollah menerima tawaran lumayan.
Hanya menanti kepulangan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman daripada mengerjakan umrah, Dollah yang membawa kegemilangan MPPJ muncul juara Piala Malaysia musim lalu akan mengikat kontrak minggu ini.
Kehadiran Dollah, 41, pemain yang pernah menyarung jersi Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan ibarat `sirih pulang ke ganggang'.
Menurut jurucakap FAS, segala rundingan dengan Dollah sudah sampai ke penghujung dan bekas pemain kelahiran di Kampung Tangga Batu Melaka itu sudah menerima tawaran sebagai jurulatih Selangor musim depan.
``Memang sudah lama Selangor mahukan Dollah tetapi terhalang kerana pelbagai masalah.
``Tetapi kali ini sudah pasti Dollah akan menjadi jurulatih Selangor yang baru,'' ujarnya.
Ujarnya, rata-rata Jawatankuasa Liga Pro Selangor sudah bersetuju dengan pelantikan Dollah sebagai jurulatih skuad Merah Kuning musim depan.
``Yang penting Dollah menjadi pertaruhan untuk mengembalikan semula kegemilangan Selangor tidak seperti nasib yang dialami musim ini.
``Kita juga mahu penyokong setia Merah Kuning kembali memberikan sokongan dan menghidupkan kembali semangat yang sudah lama hilang di Selangor,'' ujarnya.
Selain kedatangan Dollah ke Selangor, penyerang berbahaya Indonesia, Bambang Pamungkas juga semakin pasti akan ditambat oleh Selangor musim depan.
Bambang adalah pemain yang menjadi pemusnah apabila jaringan tunggalnya meleburkan hajat Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir Piala Tiger 2002.
Bambang, pemain kelab Persija Jakarta yang menjadi penjaring terbanyak di Piala Tiger cukup dikenali dan digeruni.
Kehadiran penyerang itu dijangka dapat memperkukuhkan jentera serangan Merah Kuning bergandingan dengan Brian Fuentes, satu-satunya pemain import musim ini yang dikekalkan untuk cabaran musim depan.
Ketika ini rundingan antara FAS dan Bambang di peringkat akhir dan pada dasarnya pemain itu bersedia menerima tawaran lumayan Selangor musim depan.
Skuad Merah Kuning tidak lagi berhajat untuk menawarkan kontrak kepada ke atas dua tenaga import, Darko Novacic dan Ante Kovacevic.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan