Sabtu, 29 April 2017

Dollah belum buat keputusan

ARKIB : 22/10/2004
UCAPAN tahniah bertalu-talu sejak awal pagi diterima oleh jurulatih MPPJ, Dollah Salleh sudah membayangkan peminat bola sepak di Lembah Klang khususnya peminat Merah Kuning menyambut baik kedatangan beliau untuk menerajui skuad Selangor musim depan.
Mereka menyifatkan kewibawaan Dollah ketika membawa pasukan berstatus kelab, MPPJ menjulang Piala Malaysia musim lalu, pastinya sentuhan itu dapat mengembalikan semula kegemilangan Selangor.
Begitupun Dollah, 41, belum memberi kata putus sama ada akan menerima tawaran menarik daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mengemudi Selangor menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.
Bekas pemain skuad Merah Kuning itu di awal tahun 80an yang sering bermain di posisi serangan dan tengah mengesahkan FAS ada menawarkan beliau untuk menjadi jurulatih Selangor.
``Memang saya ada menerima tawaran daripada Selangor dan kami telah berbincang mengenai perkara ini.
``Setakat ini, segala rundingan berjalan lancar tetapi saya belum dapat memberi kata putus untuk menerima atau tidak tawaran ini.
``Tetapi pada dasarnya tawaran yang Selangor berikan cukup menarik, tunggulah dalam masa minggu ini atau minggu depan saya akan buat keputusan,'' ujarnya semalam.
Apa yang membimbangkan Dollah jika pihak pengurusan FAS mengubah keputusan dan keadaan ini pasti akan memalukannya.
``Biarlah saya fikirkan dulu dan jika mencapai kata sepakat dengan FAS barulah saya akan buat pengumuman,'' ujarnya.
Kehadiran Dollah sememangnya dinantikan oleh Selangor selepas pasukan itu menempuh liku mengecewakan musim ini.
Segala keperitan juara 29 kali Piala Malaysia musim ini, merumuskan angin perubahan baru ke atas jurulatih dan pemain perlu dilakukan untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad Merah Kuning musim depan.
Buat Dollah yang pernah menyarungi jersi Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka membayangkan beliau tidak akan meninggalkan Lembah Klang walau pun ada tawaran menarik daripada pasukan lain.
Sebaliknya Dollah lebih selesa meneruskan karier sebagai jurulatih sama ada dengan MPPJ atau Selangor.
``Ketika ini saya tidak terikat dengan MPPJ dan mereka juga ada membayangkan untuk meneruskan khidmat saya tetapi setakat ini tidak ada sebarang kata putus,'' ujarnya.
Ujarnya lagi, setakat ini beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada pasukan lain. Jika ada kata Dollah pastinya beliau akan menolak tawaran tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan