Jumaat, 7 April 2017

Jangan lakukan aksi pelik - Khairil



ARKIB : 02/10/2003
 Oleh JOHARI SHAWAL
 
JURULATIH MPPJ, Dollah Salleh (tengah) memerhatikan dengan tekun pemain-pemainnya melakukan larian pantas pada sesi latihan di Kompleks PKNS, Kelana Jaya, semalam. - Gambar SAZALI CHE DIN.

KETUA pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Khairil Zainal meminta semua rakan seperjuangannya tidak melakukan perkara atau tindakan yang pelik sepanjang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah, Sabtu ini.

``Saya berharap semua pemain bermain seperti biasa. Jangan lakukan perkara yang pelik-pelik dalam perlawanan itu kerana ia boleh memakan diri,'' kata bekas pemain kebangsaan itu.

Khairil menambah, Sabah sebuah pasukan yang mantap dari segala sudut dan akan mengambil kesempatan jika ada pemain MPPJ yang cuba menunjuk atau membuat perkara pelik semasa bermain.

``Kita sudah ada pengalaman bertemu Sabah semasa dalam peringkat kumpulan dan kita sudah tahu kesempatan yang akan digunakan mereka,'' ujarnya.

Perkara pelik yang dimaksudkan Khairil ialah bermain dengan cara terlalu bergaya atau cuba menunjukkan kemahiran masing-masing dalam perlawanan genting.

Khairil merupakan antara tonggak MPPJ di barisan pertahanan dan mendapat kepercayaan penuh jurulatih, Dollah Salleh untuk mengawal benteng MPPJ.

Ditanya mengenai perasaannya beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Khairil berkata: ``Inilah saat paling istimewa dalam hidup saya. Seumur hidup saya bermain dalam kancah bola sepak tempatan, inilah kali pertama saya bermain di pentas akhir Piala Malaysia.

``Saya sebelum ini pernah bermain dalam akhir Piala FA tetapi saya tahu Piala Malaysia adalah sesuatu yang berbeza dan lebih istimewa.''

Pemain berusia 29 tahun itu kali terakhir mewakili skuad kebangsaan ialah pada 2000 bermain pada kelayakan Piala Asia di Hong Kong dan Qatar di bawah bimbingan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

Ditanya mengenai kekuatan Sabah, Khairil berkata, di peringkat kumpulan C, kita seri 1-1 di Petaling Jaya dan kalah 1-0 di Likas. Tetapi ketika itu kami tidak dibarisi oleh sebahagian besar pemain utama akibat cedera,'' jelasnya.

MPPJ melakar sejarah dalam bola sepak tempatan apabila menjadi pasukan berstatus kelab yang pertama melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcDaXSYf
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan