KUALA LUMPUR - Perpindahan
Dollah Salleh ke Selangor secara peribadi membuahkan hasil berbaloi apabila dia
muncul sebagai jurulatih pertama memenangi Piala Liga Perdana sebanyak dua kali
berturut-turut.
Tahun lepas, Dollah membimbing
Selangor MPPJ menjulang trofi itu selepas pasukannya menundukkan Melaka Telekom
3-2, dan malam kelmarin Dollah mengulangi kejayaan itu apabila Selangor
mengalahkan Negeri Sembilan 4-2 di Seremban.
Yang lebih manis untuk dikenang
ialah kemenangan Selangor terhasil selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol
dan kemudian menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir masa tambahan untuk
menang.
Malah Dollah dilihat telah
membuat tindakan berani yang berisiko tinggi apabila menggantikan Khalid Jamlus
dan pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy dengan memasukkan Mohd. Haris Safwan
Kamal dan Amri Yahyah untuk memantapkan bahagian serangan Selangor.
Dollah juga memasukkan Nazzab
Hidzan untuk menggantikan pemain pertahanan, Mohd. Saiful Nizam Husin.
``Dalam bola sepak, nasib juga
memainkan peranan besar.
``Secara keseluruhannya kami
telah bermain dengan baik dan kami bangkit selepas ketinggalan dua gol. Jadi
bagi saya ini merupakan kejayaan yang sangat besar di mana semua orang iaitu
pemain dan pengurusan telah menunjukkan kerjasama yang baik.
``Keputusan memasukkan Nazzab
dan mengeluarkan seorang pemain pertahanan adalah satu perjudian besar tetapi
saya fikir kami perlu mempunyai kekuatan di bahagian serangan. Saya sangat lega
kerana risiko yang saya ambil membuahkan hasil,'' kata Dollah.
Negeri Sembilan kelihatan
menuju kemenangan mudah apabila mendahului 2-0 ketika permainan berbaki 10
minit menerusi jaringan ketua pasukan, Anuar Jusoh pada minit ke-15 dan Idris
Karim pada minit ke-53.
Bagaimanapun, tindakan pasukan
tuan rumah bermain secara bertahan selepas itu memakan diri.
Penyerang dari Argentina, Brian
Fuentes mengembalikan semangat Selangor dengan menguis masuk pada minit ke-79
sebelum pemain veteran, K. Sanbagamaran menyamakan kedudukan dengan tandukan
pada minit akhir permainan masa sebenar.
D. Surendran, wira Selangor
dalam perlawanan akhir Piala FA 2001, mengulangi kecemerlangannya dengan
rembatan dari luar kotak penalti untuk meletakkan Selangor di depan pada minit
ke-118 dan penyerang dari Indonesia menyempurnakan mimpi ngeri Negeri Sembilan
apabila menyepak masuk gol keempat pada minit ke-120.
Kejayaan kelmarin juga
membuktikan bahawa pelaburan Selangor membawa masuk nama-nama besar ke dalam
pasukan itu membawa hasil lumayan dan kini matlamat mereka ialah untuk
memenangi Piala FA yang memasuki peringkat separuh akhir sebelum tumpuan
beralih kepada Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ikSJl1tg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan