ARKIB : 21/09/2005
KUALA TERENGGANU - Jurulatih
Selangor, Dollah Saleh menafikan khabar angin akan dipilih sebagai pengendali
skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Kebangsaan bagi Sukan SEA Filipina, November
ini.
Sambil mengakui tidak tahu
`apa-apa' mengenai perkara itu, Dollah menganggap dirinya belum bersedia
memikul tanggungjawab membimbing pasukan kebangsaan.
Menurut Dollah, dia masih
mempunyai kontrak dan komitmen yang perlu ditunaikan terhadap pasukan Red
Giants yang disertainya pada awal musim ini.
``Saya tidak mendengar apa-apa
mengenai perkara tersebut. Buat masa ini saya memberi sepenuh tumpuan kepada
Selangor.
``Lagi pun masih ada dua
perlawanan akhir (Piala Malaysia dan Piala FA) yang menjadi keutamaan saya dan
saya mahu memenangi kedua-duanya,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dollah berpeluang meraih tiga
gelaran musim ini selepas Selangor melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala
Malaysia setelah mengatasi Terengganu dengan agregat 4-2, di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah di sini kelmarin.
Dollah menjadi sebutan untuk
mengisi jawatan tersebut, selepas jurulatih sebelum ini, Bertalan Bicskei tidak
lagi diberi kepercayaan memikul tugas itu baru-baru ini.
Selain bekas pemain tengah
kebangsaan itu, pengendali sementara skuad itu ketika ini, Nasir Yusof dan
beberapa nama lain turut dikaitkan untuk memegang jawatan tersebut.
Dollah kini dianggap sebagai
jurulatih dengan `sentuhan emas' terutama sekali selepas kejayaannya membimbing
MPPJ Selangor mencipta sejarah menjadi kelab pertama memenangi Piala Malaysia
pada 2003.
Bagaimanapun, dalam nada
merendah diri, Dollah berkata, berbanding dirinya yang mula menjadi jurulatih
pada tahun 2002, masih ramai jurulatih senior yang layak diberi kepercayaan
membentuk skuad tersebut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4j2ZRXh6N
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan