Ahad, 4 Jun 2017

Dendam Dollah!



ARKIB : 22/09/2005

SERDANG - Pertemuan dua gergasi bola sepak, Selangor menentang Perak pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini, mempunyai nostalgia tersendiri buat jurulatih skuad Merah Kuning, Dollah Salleh.

Perlawanan Sabtu ini mengembalikan semula kenangan pahit yang tidak mudah dilupakan sewaktu Dollah menyarung jersi Merah Kuning, menentang Perak pada aksi akhir Piala FA pertama tahun 1990.

Ledakan dua jaringan Dollah pada minit ke-15 dan ke-20 seakan-akan Selangor bakal dinobatkan selaku juara pertama, namun empat gol Perak menyusul menerusi Aung Naing Aung Nain (minit ke-59, 82), Wan Ahmad Kamal (60) dan Zulkifli Mansor (83) memadamkan terus impian Selangor.

Kehampaan itu berterusan tanpa mengecapi sebarang kejuaraan Piala FA walaupun dia pernah mewakili negeri lain seperti Johor, Selangor, Pahang dan Melaka.

Sebelum mengumumkan persaraan pada 1999, Dollah pernah menjulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala Liga.

Dendam Dollah untuk menebus kehampaan pada 1990 menyusul kembali.

``Inilah masanya untuk saya melengkapkan koleksi peribadi memiliki kesemua piala yang dipertandingkan walaupun kali ini saya sebagai jurulatih dan membawa Selangor ke perlawanan akhir bertemu Perak.

``Kenangan pahit disaksikan 45,000 penonton di Stadium Merdeka pada 1990, dua gol saya dileburkan dengan empat jaringan Perak sukar untuk dilupakan,'' katanya pada majlis penyerahan set jersi Piala Datuk Mohamad Satim Diman oleh pemain Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang di sini, semalam.

Walaupun bukan lagi sebagai pemain, bagi Dollah kejayaan Selangor jika menjulang Piala FA Sabtu ini akan menebus kehampaan pada 1990 selain melengkapkan koleksi memiliki kesemua piala yang dipertandingkan dalam bola sepak Malaysia.

Jurulatih berasal dari Melaka itu cukup yakin kesebelasan utama yang akan diturunkan Sabtu ini mampu menafikan hajat Perak untuk mengekalkan gelaran juara.

``Perlawanan akhir ini mempunyai keistimewaan tersendiri, corak permainan berlainan dan semangat pemain juga berbeza.

``Saya melihat kemampuan pemain mengatasi sebarang tekanan walaupun setelah ketinggalan tetapi mampu bangkit untuk menang, memberi petanda baik untuk Selangor menjanjikan kejayaan,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j2w0MdmD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan