Isnin, 26 Jun 2017

Red Giants semakin terdesak - Perlu jaringan besar untuk layak ke suku akhir Piala AFC



ARKIB : 16/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Selangor tidak rela terus dihantui kegagalan ketika peluang terbaik untuk layak ke suku akhir Piala AFC terbuka luas dengan syarat skuad Red Giants mesti menewaskan wakil dari Maldives, Hurriyah dengan jaringan besar malam ini.

Selepas kecewa mempertahankan Piala FA dan menduduki tangga terbawah Liga Super, kejayaan layak ke suku akhir Piala AFC dapat menebus maruah yang tercalar dalam saingan Liga Malaysia musim 2005/2006.

Selangor bertekad memburu kemenangan berpesta gol apabila menentang Hurriyah dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) malam ini.

Skuad Red Giants bersaing hebat dengan kelab dari Singapura, Tampines Rover untuk muncul juara Kumpulan F yang akan melayakkan diri secara automatik ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 12 mata tetapi Tampines mempunyai kelebihan jaringan gol berbanding Selangor yang kini menduduki tangga kedua di belakang wakil dari Singapura itu.

Dalam perlawanan lain pula, Tampines akan menentang Happy Valley di Stadium Mongkok.

Jurulatih Selangor Dollah Salleh berkata, peluang skuad Red Giants untuk menang ke atas Hurriyah adalah cerah tetapi memburu gol sebanyak mungkin adalah sesuatu yang sukar untuk diramalkan.

“Selepas gagal di Piala FA dan Selangor berada di tangga terbawah liga, inilah peluang terbaik menebus segala kekecewaan.

“Kita akan bermain mati-matian untuk menang dan mencari seberapa banyak gol yang boleh; paling tidak lebih daripada lima gol,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, matlamat utama Selangor adalah untuk menang tanpa mengambil kira pertemuan dengan Tampines.

Persembahan buruk di Liga Super kata Dollah tidak menjejaskan tumpuan kesebelasan utama yang akan diturunkan diketuai oleh Bambang Pamungkas untuk memastikan Selangor layak ke suku akhir.

Hurriyah menduduki tangga terbawah Kumpulan F sekadar mengutip satu mata daripada lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Dalam perlawanan pertama sebelum ini Selangor menewaskan Hurriyah 3-1 di tempat lawan.

Sementara itu jurulatih Hurriyah, Ismail Ali berkata, pemainnya turun berdepan dengan Selangor dengan hajat untuk mengukir kemenangan atau setidak-tidaknya seri.

“Kami hendak menang atau seri,” kata Ismail.

Beliau mengakui berdepan dengan Selangor bukan tugas mudah apa lagi bermain di tempat lawan.

Ujarnya, kesebelasan utama yang akan diturunkan akan memastikan Selangor tidak berpeluang untuk menang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l61wKpby
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan