Ahad, 4 Jun 2017

Rahman teliti `rahsia' Dollah



ARKIB : 29/09/2005

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
Jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Zacharia Simunkonda ketika skuad Singa Utara menjalani latihan di Kangar, semalam.


KANGAR - Perlis sedia menamatkan sentuhan ajaib pengurus Selangor, Dollah Salleh apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, Perlis akan menjadikan Piala FA yang dimenangi Selangor minggu lalu sebagai kejuaraan terakhir mereka.

Lantaran itu, katanya perlawanan akhir Sabtu ini tidak mustahil menjadi penamat kepada sentuhan ajaib Dollah.

Cerita yang tentu tidak diketahui ramai ialah Dollah Salleh pernah menjadi anak didik Abdul Rahman sewaktu jurulatih berasal dari Terengganu itu menjadi pembantu Josef Venglos dari Republik Czech, yang melatih pasukan kebangsaan pada awal tahun 1980 an.

``Saya akui Dollah merupakan seorang jurulatih yang mempunyai sentuhan ajaib. Lihatlah pencapaiannya bersama MPPJ. Musim pertama dia membimbing pasukan bertaraf kelab itu, MPPJ muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia.

``Musim ini sentuhan emas Dollah berterusan bersama Selangor dengan kejuaraan Liga Perdana dan terbaru Piala FA. Saya akui Dollah adalah tonggak kebangkitan Selangor.

``Saya kagum dengan kemampuan Dollah. Namun, rekod kecemerlangan Dollah pasti ada penghujungnya. Perlis mahu menjadi pasukan yang menamatkan impian Dollah untuk menjulang piala seterusnya Sabtu nanti,'' katanya selepas sesi latihan, semalam.

Menurut Ibrahim, apa yang bermain difikirannya sekarang ialah mencari formula menyekat Selangor yang sentiasa memenangi perlawanan di saat-saat genting seperti perlawanan akhir Liga Perdana dan Piala FA, tempoh hari.

Katanya, dia sedang meneliti rahsia formula kejayaan Dollah dalam kejurulatihan.

Tambah beliau, walaupun rekod Selangor cukup cemerlang tetapi lawan mereka Sabtu ini berbeza kerana Selangor dan Perlis tidak pernah bertembung pada saingan liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5iUUTqV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan