ARKIB : 03/10/2005
PHILLIMON Chepita gagal
melepasi penjaga gol Selangor Jamsari Sabian.
KUALA LUMPUR - Andainya tanpa
jaringan hatrik Bambang Pamungkas, Dollah Salleh tidak ragu-ragu akan memilih
penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir
bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.
Jurulatih Gergasi Merah itu
mengakui betapa bekas penjaga gol kebangsaan itu menampilkan persembahan
terbaik dengan menyekat banyak percubaan penyerang kembar Perlis, Phillemon
Chepita dan Zacharia Simukonda.
``Persembahannya menjadi punca
kebangkitan Selangor. Cuma Bambang yang mencipta hatrik, kalau tidak, malam ini
sudah tentu malam milik Jamsari. Saya tidak menafikan, saya berbangga
dengannya,'' kata Dollah.
Tanpa sebarang gol yang
membolosi Selangor, bekas penyerang kebangsaan era 80-an dan 90-an itu turut
memuji barisan bentengnya yang mencapai kemajuan prestasi setelah sekian lama
dikecam sebagai elemen pasukan yang paling lemah.
``Kami bermain dengan wajah
sebenar Selangor. Kami juga berjaya di barisan benteng. Orang selalu kata
benteng kami lemah tetapi kali ini, mereka membuktikan barisan ini sebagai yang
terbaik,'' katanya.
Mengenai koleksi treble (tiga
piala - Malaysia, FA dan Liga Perdana) semusim, katanya: ``sudah rezeki saya
agaknya. Saya tidak tahu nak jawab macam mana. Saya lebih rasa macam nak kalah
tetapi malam ini, pemain buktikan firasat saya itu salah.
``Merayakan kejayaan sebagai
jurulatih lebih seronok tetapi tekanannya lagi teruk,'' katanya yang menjulang
Piala Malaysia 2003 kali pertama sebagai jurulatih MPPJ dan ketika bermain
mewakili Pahang, Johor dan Selangor.
Agak terkilan baginya ialah
apabila tidak dapat menurunkan Khalid Jamlus kelmarin biarpun penyerang
kebangsaan itu sebenarnya berkemampuan untuk digandingkan sama ada dengan
Bambang mahupun Brian Fuentes.
``Amri Yahyah juga turun naik
prestasinya,'' kata Dollah mengulas tindakannya dengan hanya satu pertukaran
iaitu menggantikan penjaring tunggal Selangor ketika menjuarai Piala Malaysia
2002 itu dengan Nazzab Hidzan.
Mengenai Bambang, secara
berseloroh beliau berharap pengurusan pasukan Selangor dapat menambat penyerang
kelahiran Indonesia itu selama lima tahun lagi menjelang kembalinya Liga
Malaysia pada Disember ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j6xwSa1N
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan