ARKIB : 02/08/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Selepas membawa
MPPJ mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia pada 2003, jurulatih Dollah
Salleh berazam membawa Selangor pula menjulang piala berprestij itu apabila
saingan sebenar bermula Sabtu ini.
Kejayaan Selangor menewaskan
Negeri Sembilan 4-2 untuk menjulang Piala Liga Perdana, membuatkan Dollah yakin
dengan reputasi anak didiknya untuk mengungguli saingan dalam Kumpulan D.
Ketika usaha Selangor untuk mendapatkan
pemain import keempat bagi memperkukuhkan kemantapan benteng pertahanan kian
tipis.
Jurulatih itu tetap yakin
dengan barisan tenaga tempatan untuk memastikan skuad Merah Kuning tidak rebah
buat memburu tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
``Tidak banyak perubahan yang
perlu saya lakukan sebaliknya mengekalkan corak permainan dan barisan yang sama
untuk memastikan Selangor merealitikan impian ke perlawanan akhir,'' ujarnya di
sini, semalam.
Tempoh rehat yang lama kata
Dollah membolehkan beberapa pemain utama seperti Ellie Aiboy dan K.
Sanbagamaran pulih daripada kecederaan masing-masing.
Selebihnya ujar beliau,
gandingan Bambang Pamungkas, Muhammad Khalid Jamlus dan Brian Fuentes menjadi
sandaran untuk meledakkan jaringan.
``Pemain Selangor tidak lagi
dibendung kecederaan dan semua sudah cukup bersedia untuk memulakan kempen awal
Piala Malaysia minggu ini,'' katanya.
Selangor akan membuka tirai
kempen pertama berdepan dengan MK Land di Stadium Selayang Sabtu ini.
Walaupun Selangor berada dalam
kumpulan yang dianggap paling getir bersaing dengan MK Land, Public Bank dan
Perak, Dollah menganggap keupayaan lawan tetap setanding dengan Merah Kuning.
``Selangor sudah bermain dengan
MK Land sebanyak lima kali dan rasanya tidak ada masalah buat pemain apabila
berdepan lagi dengan lawan Sabtu ini,'' ujarnya lagi.
Rekod pertemuan dengan MK Land
jelas memihak kepada Selangor yang tewas dan seri sekali selain mencatat tiga
kemenangan termasuk dalam saingan kedua Piala FA.
Bagaimanapun, Dollah mengakui
reputasi semasa Perak boleh menjadi penghalang buat Selangor untuk muncul juara
Kumpulan D.
``Perak memiliki segala
kelebihan kerana mereka ada Frank Seator dan Keita Madjou, pemain penyerang
boleh mencemaskan benteng pertahanan Selangor,'' ujarnya.
Mengenai Public Bank, Dollah
berkata, beliau tetap menghormati lawan dan tidak menganggap mudah kekuatan
lawan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4ilQQKDV4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan