ARKIB : 06/09/2005
KUALA LUMPUR - Malang bertimpa
buat Selangor selepas kehilangan penjaga gol utama, Jamsari Sabian apabila
ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan pula terpaksa disisihkan menjelang
pertemuan dengan Pulau Pinang pada saingan suku akhir kedua bola sepak Piala
Malaysia di Stadium Bandaraya, malam esok.
Jamsari dilayangkan kad merah
selepas menampan bola di luar kotak penalti manakala Muhammad Shukor pula
mengutip kad kuning kedua pada pertemuan di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.
Situasi getir ini merumuskan
betapa jurulatih Selangor, Dollah Salleh jelas resah mengenangkan untung nasib
skuad Merah Kuning berdepan dengan Pulau Pinang di tempat lawan esok.
Ketiadaan dua tonggak tersebut
jelas amat dirasakan oleh Selangor ketika khidmat mereka amat diperlukan bagi
mempertahankan kelebihan kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang Sabtu lepas, bagi
menjamin tiket ke separuh akhir.
Menurut Dollah, walaupun sudah
ada dua pengganti iaitu Mohd. Shahrizan Ismail yang akan mengambil posisi
penjaga gol Selangor dan Nazzab Hidzan menggantikan tempat Muhammad Shukor
namun, ketiadaan dua tonggak itu amat dirasakan.
``Saya amat mengharapkan Mohd.
Shahrizan dapat mempertahankan benteng Selangor daripada dibolosi penyerang
Pulau Pinang dan Nazzab pula dapat menghidupkan bahagian tengah.
``Bukan mudah untuk
mempertahankan kelebihan satu jaringan apa lagi bermain di tempat lawan,''
ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dollah membayangkan Selangor
merintis laluan paling sukar kali ini dengan persembahan yang semakin menurun
sejak bermulanya kempen Piala Malaysia.
``Saya akui prestasi Selangor
menurun sikit dan segala yang diatur tidak menjadi,'' katanya.
Namun begitu Dollah masih yakin
dengan kemampuan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam esok untuk
menyekat Pulau Pinang daripada mencuri tempat ke separuh akhir.
Paling melegakan buat Selangor
apabila pemain pertahanan, Ahmad Tarmini Saiban akan kembali beraksi selepas
menjalani satu penggantungan.
Ujarnya, Selangor boleh
menewaskan Pulau Pinang dengan syarat pemain agar lebih berdisiplin di padang,
tidak membuat banyak kesilapan selain memberikan tumpuan 100 peratus sepanjang
baki 90 minit babak berlangsung.
``Sepanjang tempoh 90 minit ini
segalanya boleh terjadi dan masa tersebut menjadi detik penentu peluang
Selangor ke separuh akhir,'' katanya.
Jurulatih itu yakin, barisan
pemain Selangor mampu kembali kepada prestasi sebenarnya apa lagi ketika berada
dalam keadaan terdesak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iwh092AM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan