ARKIB : 01/08/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Dua persoalan
kini menghantui jurulatih Dollah Salleh selepas pasukan bimbingannya, Selangor kehilangan
ketiga-tiga piala termasuk gagal ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu
lalu.
Dollah yang menerajui Red Giant
membolot Piala Liga Perdana, FA dan Malaysia, musim lalu, sendiri tidak
mengetahui sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi menghadapi satu-satunya
cabaran Selangor yang masih tinggal - suku akhir Piala AFC atau tidak.
Kedudukan saya terserah kepada
pihak pengurusan (Persatuan Bola Sepak Selangor - FAS). Saya akan menghantar
laporan prestasi pasukan tidak lama lagi dan buat masa ini, kami berehat
terlebih dulu, katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selangor terlepas untuk
mempertahankan trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia akibat
perbezaan jaringan dengan pasukan Liga Perdana, Terengganu yang menduduki
tempat kedua Kumpulan A.
Pada perlawanan terakhir
peringkat kumpulan itu, Selangor menang ke atas Sabah 3-1 tetapi tidak cukup
untuk memintas Terengganu kerana mereka memerlukan kemenangan lebih besar.
Kegagalan Selangor itu turut
dibantu keputusan seri 3-3 Terengganu dengan Negeri Sembilan walaupun pasukan
Pantai Timur itu ketinggalan 1-3 pada satu ketika.
Dollah juga hanya mampu
berkata, OK berhubung prestasi trio import Selangor, Elie Aiboy, Bambang
Pamungkas dan Perica Ognjenovic sepanjang Piala Malaysia yang bakal menjadi
topik utama laporan itu sekalipun dia berhak mengemukakan pandangan dan cadangannya.
Semuanya bergantung kepada
pengurusan. Jika mereka mahu meneruskan khidmat pemain import itu atau berjimat
dalam perbelanjaan, terserahlah kepada mereka, kata bekas penyerang kebangsaan
era 80-an ini.
Khabarnya, khidmat Elie dan
Bambang ditagih semula oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi
sesi latihan skuad Merah Putih itu dalam menghadapi Pestabola Merdeka di Shah
Alam dari 23 hingga 29 Ogos ini.
Selangor juga masih menunggu
keputusan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) sama ada mereka dibenarkan bermain di
Lebanon untuk menentang Al Nejmeh ekoran serangan udara Israel yang sudah
meragut ratusan nyawa sejak tiga minggu lalu.
Difahamkan AFC akan
bermesyuarat pada awal bulan ini dan kemungkinan besar terpaksa mengubah
gelanggang suku akhir kedua Selangor menentang Al Nejmeh sekiranya serangan
rejim Yahudi terus membedil Lebanon.
Selangor bagaimanapun akan mula
melayani kunjungan naib juara Piala AFC tahun lalu itu di Stadium Shah Alam
pada 12 September ini dan perlawanan kedua suku akhir itu dijadualkan di negara
itu, seminggu kemudian.
Selangor ke suku akhir Piala
AFC sebagai salah satu pasukan di tempat kedua terbaik dari Kumpulan F,
menyertai Tampines Rovers (Singapura), Al Wihdat (Jordan), Al Nasr (Oman), Al
Muharraq (Bahrain), Al Faisaly (Jordan) dan Xiangxue Sun Hei (Hong Kong).
Satu lagi wakil Malaysia,
Perlis sudah pun terkandas di peringkat Kumpulan E kerana menduduki tempat
kedua di belakang Xiangxue Sun Hei tetapi sempat mengatasi Home United
(Singapura) dan New Radiant (Maldives).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lO4tRCS3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan