Sabtu, 3 Jun 2017

Selangor lebih mantap



ARKIB : 02/09/2005

KUALA LUMPUR - Jurulatih, Dollah Salleh berkata, Selangor mampu mencatat kemenangan selesa apabila menanti kunjungan Pulau Pinang pada saingan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Walaupun Pulau Pinang pernah menewaskan Selangor 3-2 pada perlawanan persahabatan Januari lalu, tetapi itu bukan menjadi ukuran sebenar.

Sebaliknya, Dollah tampak yakin aksi pemain yang kurang bermaya ketika seri 0-0 dengan Public Bank kelmarin, mampu melenyapkan kelesuan itu bagi memastikan Selangor mengukir kemenangan bergaya.

``Masa kalah dengan Pulau Pinang, saya tidak ada Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Muhammad Shukor Adan, Ahmad Tarmini Saiban dan Nazrulerwan Makmor.

``Tetapi saingan kali ini jelas berbeza dan menjanjikan pertembungan paling menarik,'' ujarnya di sini, semalam.

Buat Dollah, ketika lega jentera serangan Muhammad Khalid Jamlus sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, ketiadaan pemain pertahanan Ahmad Tarmini amat dirasakan.

Pemain bek kanan Selangor itu tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama berdepan dengan Pulau Pinang selepas dia mengutip dua kad kuning ketika bertemu Public Bank kelmarin.

``Agak mengecewakan dalam perlawanan penting bertemu Pulau Pinang saya kehilangan seorang pemain utama, ini memaksa saya membuat perubahan di benteng pertahanan.

``Saya masih percaya pemain mampu memberikan saingan dan mengatasi Pulau Pinang yang lebih penting kelebihan bermain di gelanggang sendiri mesti dimanfaatkan oleh pemain Selangor,'' katanya.

Di samping itu, Dollah mengharapkan pemain Selangor yang kurang bermaya sebelum ini mampu bangkit kembali dengan sentuhan untuk memastikan skuad Merah Kuning mencapai kemenangan awal malam esok.

Lebih penting kata jurulatih itu, pemain jangan terlalu leka dan hilang tumpuan sepanjang tempoh babak 90 minit babak berlangsung.

Selepas ini, Selangor akan bertemu Pulau Pinang sekali lagi pada saingan suku akhir kedua di Stadium Bandaraya pada 7 September ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iwHkJQ6a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan