ARKIB : 17/10/2014
DOLLAH Salleh (kanan) bersama
Ketua Eksekutif One Goal Malaysia, Stuart Ramalingam bersama (kanan), bekas
ratu cantik Deborah Henry (dua dari kanan) dan pengulas sukan Astro, Roshan
Narayan bersama-sama melancarkan program One Goal iaitu kempen menamatkan
pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, di Petaling
Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Kualiti padang
Stadium Nasional yang akan menjadi gelanggang Kejohanan AFF 2014 meresahkan
jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang bimbang Singapura akan
menggunakannya sebagai alasan untuk mengubah tempat perlawanan.
Jika stadium itu diisytiharkan
tidak sesuai untuk kejohanan itu, Singapura sudah pasti akan memindahkan tempat
perlawanan ke Stadium Jalan Besar.
Dan, ini boleh memberi
kelebihan kepada tuan rumah kejohanan itu kerana stadium kecil itu menggunakan
rumput sintetik yang mereka sudah biasa bermain di atasnya.
Walaupun belum ada sebarang
kenyataan daripada Singapura, namun kebimbangan Dollah itu berasas jika dilihat
kepada kualiti padang Stadium Nasional yang menjadi gelanggang perlawanan
persahabatan antara Brazil dan Jepun pada 14 Oktober.
Oleh itu, Dollah menggesa
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyelesaikan masalah itu secepat mungkin
memandangkan Kejohanan AFF akan berlangsung dalam masa sebulan sahaja lagi.
"Berdasarkan laporan media
Singapura, membuatkan saya khuatir apabila mengetahui mengenai kualiti padang
Stadium Nasional begitu menghampakan.
"Saya bimbang kalau
Singapura (menggunakan alasan ini) untuk menukar gelanggang perlawanan ke
Stadium Jalan Besar pada saat-saat akhir dan ini pasti mendatangkan banyak
masalah buat kita.
"Berdasarkan pengalaman
saya, bermain di Stadium Jalan Besar memberi kelebihan besar kepada Singapura
yang cukup selesa beraksi di atas padang tiruan.
"Saya amat berharap FAS
dapat membuat sesuatu supaya tiada perubahan venue perlawanan dan kami mahu
bermain di Stadium Nasional," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar
kempen One Goal Malaysia di Petaling Jaya semalam.
Ujar Dollah, dia pasti berdepan
kesukaran merencanakan strategi terbaik sekiranya Jalan Besar menjadi medan
perhitungan semua pasukan di dalam Kumpulan B kerana pergerakan bola yang
terlalu laju dan sukar dikawal.
"Tidak banyak yang boleh
diharapkan jika bermain di Jalan Besar dan pergerakan bola pasti akan
menghampakan pemain kerana selama ini kita sudah biasa beraksi di atas rumput
semulajadi.
"Bukan mudah jika mahu
mengamalkan permainan hantaran pendek di atas padang tiruan dan banyak perkara
perlu dilihat terutama pada corak latihan supaya pemain boleh menyesuaikan
diri," katanya.
Mutu padang di Stadium Nasional
Singapura menjadi bahan perbualan hangat apabila pengendali Brazil, Dunga,
kecewa dengan kualiti padang yang kelihatan lebih banyak pasir berbanding
rumput sehingga menjejaskan aksi para pemain.
Malah, dia menegur mutu rumput
yang digunakan iaitu terlalu banyak menggunakan rumput sintetik berbanding
rumput semulajadi dan itu bukan sesuatu yang baik kepada bola sepak kerana
menyukarkan pergerakan bola di atas padang selain berisiko mudah rosak ketika
permainan berlangsung.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141017/su_06/Kualiti-padang-Stadium-Nasional-buat-Dollah-bimbang#ixzz4iqYft8FR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan