ARKIB : 08/05/2005
KUALA LUMPUR - Pemain Selangor
diingatkan jangan leka dan alpa berdepan dengan Brunei malam esok kerana sikap
itu boleh menjejaskan peluang untuk memintas pendahulu liga MK Land.
Walaupun Brunei sebuah pasukan
dengan prestasi tidak menentu tetapi ia boleh menjadi pemusnah jika sikap
sambil lewa pemain seperti mana Selangor tewas 1-4 kepada Kedah minggu lalu.
Jurulatihnya, Dollah Salleh
mahu pemain membuang mimpi-mimpi ngeri kenangan pahit dipalitkan malu oleh
Kedah minggu dan inilah masanya untuk menebus segala kesilapan lepas.
``Selepas kekalahan dengan
Kedah dan Selangor menang 5-1 ke atas NTFA, keyakinan pemain sudah pulih dan
mula menunjukkan peningkatan.
``Saya lega tetapi pada masa
yang sama bimbang dengan masalah di benteng pertahanan,'' ujar Dollah ketika
dihubungi semalam.
Menurutnya, beliau masih
mempertahankan benteng yang ada sebelum ini membariskan Ahmad Tarmini Saiban,
D. Surendran, Nazrulerwan Makmor dan Aiman Wong untuk menyekat jentera serangan
Brunei.
Ujarnya, keupayaan gandingan
pertahanan hanya melepaskan satu gol berdepan dengan NTFA sedikit memberi
kelegaan menjelang pertemuan malam ini.
``Belum tiba masanya perubahan
drastik di benteng perlu dilakukan walaupun saya sudah menemui strategi baru
yang akan digunakan pada perlawanan akan datang,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Dollah tidak
bimbang dengan ketajaman jentera serangan dibarisi oleh Muhammad Khalid Jamlus,
Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes untuk meledakkan jaringan.
Begitu juga dengan perancang
bahagian tengah diketuai oleh K.Sanbagamaran, Nazzab Hidzan, Ellie Aiboy dan
Fuentes untuk mencipta peluang menjaringkan gol.
``Saya harap pemain tidak leka
berdepan dengan Brunei dan melihat lawan adalah mudah untuk menang.
``Ini sebenarnya yang saya
bimbangkan dan ingatan demi ingatan sudah dimaklumkan kepada pemain dan saya
harap mereka faham,'' ujarnya.
Berdepan dengan Brunei kata
Dollah, beliau mempertaruhkan kesebelasan terbaik tanpa mempedulikan kedudukan
lawan dalam kelompok tangga terbawah Liga Perdana Kumpulan A.
Berdasarkan persembahan mantap
dengan NTFA, jurulatih itu yakin tiga mata penuh bakal dibawa pulang oleh
Selangor bagi merapatkan diri dengan MK Land.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iTab5Pxb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan