Sabtu, 10 Jun 2017

Dollah lega pemain tunai janji




ARKIB : 11/01/2006
Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR - Igauan buruk tewas tiga kali berturut-turut lenyap buat Selangor apabila menunaikan janji memahat kemenangan kedua daripada enam perlawanan.

Reputasi selaku juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana musim lalu sebelum ini tercalar gara-gara kekalahan berturut-turut.

Namun, kemenangan 2-1 ke atas Telekom Sabtu lepas, terus melenyapkan segala andaian yang dilontarkan ekoran keretakan antara pemain dengan pihak pengurusan gara-gara bonus tidak dibayar.

Dua jaringan daripada penyerang Argentina, Brian Fuentes sudah cukup memastikan Selangor kembali bernafas untuk mengorak langkah mengharungi saingan pusingan kedua dengan keazaman tidak mahu kalah lagi.

Kemenangan tersebut bagi jurulatih Dollah Salleh menjadi pemangkin buat Selangor untuk bangkit menggegar persada musim ini.

``Memang saya lega dengan kemenangan ke atas Telekom dan berharap ia menjadi titik tolak kebangkitan semula Selangor agar tidak tercicir bersaing,'' ujarnya, semalam.

Beliau mengakui betapa semangat juang tinggi pemain mengubah suasana perlawanan ketika menentang Telekom.

Semangat itu katanya, sudah cukup membuktikan bahawa pemain Selangor belum kehilangan rentak untuk terus bersaing mencabar pendahulu Liga Super yang menjadi milik Negeri Sembilan.

``Bambang Pamungkas, Fuentes dan Muhamad Khalid Jamlus telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan bertungkus-lumus mempertahankan kemenangan.

``Begitu juga dengan pemain lain dan jika semangat ini dikekalkan, saya cukup yakin Selangor tidak akan rebah lagi selepas ini,'' katanya.

Ujar Dollah, kemenangan itu sekurang-kurangnya dapat menyuntik semangat pemain dan dapat menaikkan semula sokongan peminat Merah Kuning.

Perubahan mendadak itu berlaku kata Dollah, selepas pengurus pasukan, Datuk Satim Diman mengadakan pertemuan dengan pemain sebelum perlawanan menentang Telekom.

Jelasnya, hasil daripada pertemuan itu menetapi ramalan mencapai kata persetujuan untuk pemain bangkit.

``Mereka menunaikan janji. Bagi saya Selangor masih pasukan yang kuat dan kejayaan ini akan menjadi sumber inspirasi untuk perlawanan lain selepas ini,'' katanya.

Beliau menambah, tugas getir menanti Selangor apabila bertemu dengan Perlis di tempat lawan pada Sabtu ini.

Selepas pertemuan itu kata beliau, Selangor akan bertemu Perak sekali gus mengulangi pertemuan Piala Sumbangsih pada 3 Disember lalu.

Tanpa kecederaan yang serius beliau yakin Selangor akan dapat menewaskan Perlis.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jah0E8VT
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan