ARKIB : 17/09/2005
KELANA JAYA - Selangor menerima
tamparan hebat apabila turun menentang Terengganu pada separuh akhir kedua bola
sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hari ini tanpa
pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.
Satim digantung satu perlawanan
yang menghalangnya duduk di bangku simpanan pasukan gara-gara salah laku ketika
Selangor menentang Perak di peringkat Kumpulan D dan melawan Public Bank pada
separuh akhir Piala FA.
Satim dihukum kerana didapati
berbalah dengan pengadil selepas perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam itu
yang mengulangi salah laku pertamanya kerana cuba meluru masuk ke padang ketika
Selangor menentang Perak pada 24 Ogos lalu. Keputusan itu diumumkan oleh
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim
Saad selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Tan Sri
Aseh Che Mat di Wisma FAM di sini, semalam.
Tidak cukup dengan itu,
jurulatih skuad Gergasi Merah, Dollah Salleh pula didenda RM1,000 dan diberi
amaran keras kerana didapati bersalah keluar dari kawasan teknikal dan membuat
isyarat tangan yang provokasi ketika menentang Kedah pada perlawanan Liga
Perdana.
``Persatuan Bola Sepak Perak
pula didenda RM3,000 kerana kelakuan penonton mereka yang melontar botol
sehingga mengenai pembantu pengadil ketika menentang Selangor di Stadium Perak,
Ipoh pada 14 Ogos lalu,'' katanya.
Ibrahim bagaimanapun berkata,
kesemua pihak yang dikenakan hukuman itu masih diberi peluang untuk
mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM dalam tempoh dua minggu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4j2Oyzi7b
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan