Khamis, 1 Jun 2017

Selangor tunaikan janji



ARKIB : 25/07/2005 
KUALA LUMPUR - Perpindahan Dollah Salleh ke Selangor secara peribadi membuahkan hasil berbaloi apabila dia muncul sebagai jurulatih pertama memenangi Piala Liga Perdana sebanyak dua kali berturut-turut.

Tahun lepas, Dollah membimbing Selangor MPPJ menjulang trofi itu selepas pasukannya menundukkan Melaka Telekom 3-2, dan malam kelmarin Dollah mengulangi kejayaan itu apabila Selangor mengalahkan Negeri Sembilan 4-2 di Seremban.

Yang lebih manis untuk dikenang ialah kemenangan Selangor terhasil selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol dan kemudian menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir masa tambahan untuk menang.

Malah Dollah dilihat telah membuat tindakan berani yang berisiko tinggi apabila menggantikan Khalid Jamlus dan pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy dengan memasukkan Mohd. Haris Safwan Kamal dan Amri Yahyah untuk memantapkan bahagian serangan Selangor.

Dollah juga memasukkan Nazzab Hidzan untuk menggantikan pemain pertahanan, Mohd. Saiful Nizam Husin.

``Dalam bola sepak, nasib juga memainkan peranan besar.

``Secara keseluruhannya kami telah bermain dengan baik dan kami bangkit selepas ketinggalan dua gol. Jadi bagi saya ini merupakan kejayaan yang sangat besar di mana semua orang iaitu pemain dan pengurusan telah menunjukkan kerjasama yang baik.

``Keputusan memasukkan Nazzab dan mengeluarkan seorang pemain pertahanan adalah satu perjudian besar tetapi saya fikir kami perlu mempunyai kekuatan di bahagian serangan. Saya sangat lega kerana risiko yang saya ambil membuahkan hasil,'' kata Dollah.

Negeri Sembilan kelihatan menuju kemenangan mudah apabila mendahului 2-0 ketika permainan berbaki 10 minit menerusi jaringan ketua pasukan, Anuar Jusoh pada minit ke-15 dan Idris Karim pada minit ke-53.

Bagaimanapun, tindakan pasukan tuan rumah bermain secara bertahan selepas itu memakan diri.

Penyerang dari Argentina, Brian Fuentes mengembalikan semangat Selangor dengan menguis masuk pada minit ke-79 sebelum pemain veteran, K. Sanbagamaran menyamakan kedudukan dengan tandukan pada minit akhir permainan masa sebenar.

D. Surendran, wira Selangor dalam perlawanan akhir Piala FA 2001, mengulangi kecemerlangannya dengan rembatan dari luar kotak penalti untuk meletakkan Selangor di depan pada minit ke-118 dan penyerang dari Indonesia menyempurnakan mimpi ngeri Negeri Sembilan apabila menyepak masuk gol keempat pada minit ke-120.

Kejayaan kelmarin juga membuktikan bahawa pelaburan Selangor membawa masuk nama-nama besar ke dalam pasukan itu membawa hasil lumayan dan kini matlamat mereka ialah untuk memenangi Piala FA yang memasuki peringkat separuh akhir sebelum tumpuan beralih kepada Piala Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ikSJl1tg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan