BERNAMA
SERAMAI 134 pemain dan pegawai
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah
(IBR) bagi memastikan sukan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah dan
salah guna kuasa.
Program anjuran bersama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membabitkan pasukan utama
Pahang beraksi dalam Liga Super tetapi serta pasukan Piala Presiden (bawah 21
tahun) dan pasukan Piala Belia (bawah 19 tahun).
Lafaz ikrar diketuai Anggota
Majlis PBNP Datuk Mukaram Shah dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad serta Presiden PBNP
Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Menurut beliau usaha itu
dilihat amat penting dalam meningkatkan mutu permainan bola sepak di negara ini
sekali gus membebaskan pemain daripada gejala rasuah.
"Segalanya bermula
daripada individu itu sendiri yang mungkin mahu mencapai sesuatu di luar
kemampuannya sehingga terjebak dengan gejala ini," katanya berucap pada
majlis itu yang diadakan di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden
PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan
Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.
Mukaram berkata jika dibiarkan
ia boleh menjejaskan reputasi dan mutu bola sepak di negara ini bukan sahaja
pada peringkat dalam negara tetapi juga antarabangsa dan dalam masa sama bookie
yang menjadi dalang perbuatan itu meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Tengku Abdul Rahman berkata
sehubungan itu pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM agar
pembangunan bola sepak yang dilaksana tidak terbantut dengan perkara negatif
seperti ini.
Dzulkifli Ahmad berkata setiap
individu di negara ini termasuk atlet, pegawai sukan dan pengadil wajib
memiliki rasa tanggungjawab untuk menolak rasuah kerana ia membawa banyak
keburukan.
"Gejala rasuah akan
menyumbang kepada kemerosotan prestasi dan menjejaskan kualiti liga bola sepak
negara ini malah akan menyebabkan penaja sukan itu menjauhkan diri jika rasuah
terus berleluasa.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:33 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan