Khamis, 29 Jun 2017

Dua tanda tanya buat Dollah -- Selepas Selangor ‘kehilangan’ ketiga-tiga piala



ARKIB : 01/08/2006 
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Dua persoalan kini menghantui jurulatih Dollah Salleh selepas pasukan bimbingannya, Selangor ‘kehilangan’ ketiga-tiga piala termasuk gagal ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Dollah yang menerajui Red Giant membolot Piala Liga Perdana, FA dan Malaysia, musim lalu, sendiri tidak mengetahui sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi menghadapi satu-satunya cabaran Selangor yang masih tinggal - suku akhir Piala AFC atau tidak.

“Kedudukan saya terserah kepada pihak pengurusan (Persatuan Bola Sepak Selangor - FAS). Saya akan menghantar laporan prestasi pasukan tidak lama lagi dan buat masa ini, kami berehat terlebih dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Selangor terlepas untuk mempertahankan trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia akibat perbezaan jaringan dengan pasukan Liga Perdana, Terengganu yang menduduki tempat kedua Kumpulan A.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu, Selangor menang ke atas Sabah 3-1 tetapi tidak cukup untuk memintas Terengganu kerana mereka memerlukan kemenangan lebih besar.

Kegagalan Selangor itu turut dibantu keputusan seri 3-3 Terengganu dengan Negeri Sembilan walaupun pasukan Pantai Timur itu ketinggalan 1-3 pada satu ketika.

Dollah juga hanya mampu berkata, “OK’’ berhubung prestasi trio import Selangor, Elie Aiboy, Bambang Pamungkas dan Perica Ognjenovic sepanjang Piala Malaysia yang bakal menjadi topik utama laporan itu sekalipun dia berhak mengemukakan pandangan dan cadangannya.

“Semuanya bergantung kepada pengurusan. Jika mereka mahu meneruskan khidmat pemain import itu atau berjimat dalam perbelanjaan, terserahlah kepada mereka,” kata bekas penyerang kebangsaan era 80-an ini.

Khabarnya, khidmat Elie dan Bambang ditagih semula oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi sesi latihan skuad Merah Putih itu dalam menghadapi Pestabola Merdeka di Shah Alam dari 23 hingga 29 Ogos ini.

Selangor juga masih menunggu keputusan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) sama ada mereka dibenarkan bermain di Lebanon untuk menentang Al Nejmeh ekoran serangan udara Israel yang sudah meragut ratusan nyawa sejak tiga minggu lalu.

Difahamkan AFC akan bermesyuarat pada awal bulan ini dan kemungkinan besar terpaksa mengubah gelanggang suku akhir kedua Selangor menentang Al Nejmeh sekiranya serangan rejim Yahudi terus membedil Lebanon.

Selangor bagaimanapun akan mula melayani kunjungan naib juara Piala AFC tahun lalu itu di Stadium Shah Alam pada 12 September ini dan perlawanan kedua suku akhir itu dijadualkan di negara itu, seminggu kemudian.

Selangor ke suku akhir Piala AFC sebagai salah satu pasukan di tempat kedua terbaik dari Kumpulan F, menyertai Tampines Rovers (Singapura), Al Wihdat (Jordan), Al Nasr (Oman), Al Muharraq (Bahrain), Al Faisaly (Jordan) dan Xiangxue Sun Hei (Hong Kong).

Satu lagi wakil Malaysia, Perlis sudah pun terkandas di peringkat Kumpulan E kerana menduduki tempat kedua di belakang Xiangxue Sun Hei tetapi sempat mengatasi Home United (Singapura) dan New Radiant (Maldives).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lO4tRCS3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Jun 2017

Red Giants semakin terdesak - Perlu jaringan besar untuk layak ke suku akhir Piala AFC



ARKIB : 16/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Selangor tidak rela terus dihantui kegagalan ketika peluang terbaik untuk layak ke suku akhir Piala AFC terbuka luas dengan syarat skuad Red Giants mesti menewaskan wakil dari Maldives, Hurriyah dengan jaringan besar malam ini.

Selepas kecewa mempertahankan Piala FA dan menduduki tangga terbawah Liga Super, kejayaan layak ke suku akhir Piala AFC dapat menebus maruah yang tercalar dalam saingan Liga Malaysia musim 2005/2006.

Selangor bertekad memburu kemenangan berpesta gol apabila menentang Hurriyah dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) malam ini.

Skuad Red Giants bersaing hebat dengan kelab dari Singapura, Tampines Rover untuk muncul juara Kumpulan F yang akan melayakkan diri secara automatik ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 12 mata tetapi Tampines mempunyai kelebihan jaringan gol berbanding Selangor yang kini menduduki tangga kedua di belakang wakil dari Singapura itu.

Dalam perlawanan lain pula, Tampines akan menentang Happy Valley di Stadium Mongkok.

Jurulatih Selangor Dollah Salleh berkata, peluang skuad Red Giants untuk menang ke atas Hurriyah adalah cerah tetapi memburu gol sebanyak mungkin adalah sesuatu yang sukar untuk diramalkan.

“Selepas gagal di Piala FA dan Selangor berada di tangga terbawah liga, inilah peluang terbaik menebus segala kekecewaan.

“Kita akan bermain mati-matian untuk menang dan mencari seberapa banyak gol yang boleh; paling tidak lebih daripada lima gol,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, matlamat utama Selangor adalah untuk menang tanpa mengambil kira pertemuan dengan Tampines.

Persembahan buruk di Liga Super kata Dollah tidak menjejaskan tumpuan kesebelasan utama yang akan diturunkan diketuai oleh Bambang Pamungkas untuk memastikan Selangor layak ke suku akhir.

Hurriyah menduduki tangga terbawah Kumpulan F sekadar mengutip satu mata daripada lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Dalam perlawanan pertama sebelum ini Selangor menewaskan Hurriyah 3-1 di tempat lawan.

Sementara itu jurulatih Hurriyah, Ismail Ali berkata, pemainnya turun berdepan dengan Selangor dengan hajat untuk mengukir kemenangan atau setidak-tidaknya seri.

“Kami hendak menang atau seri,” kata Ismail.

Beliau mengakui berdepan dengan Selangor bukan tugas mudah apa lagi bermain di tempat lawan.

Ujarnya, kesebelasan utama yang akan diturunkan akan memastikan Selangor tidak berpeluang untuk menang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l61wKpby
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 23 Jun 2017

Dollah belum lega Selangor menang



ARKIB : 23/03/2006

KUALA LUMPUR - Dua kemenangan berturut-turut Selangor menewaskan Telekom Melaka 5-2 pada saingan Liga Super Sabtu lalu dan terbaru menang selesa 3-1 ke atas kelab dari Maldives, Hurriya SC dalam perlawanan Kumpulan F, Piala AFC kelmarin, belum menceriakan jurulatih Dollah Salleh.

Malah Dollah tidak berani meramalkan prestasi sebenar Selangor yang masih berada di tangga terbawah liga ketika baki lapan perlawanan liga bakal menentukan kedudukan sebenar skuad Merah Kuning.

Walau apapun buat jurulatih itu tiga gol menerusi Bambang Pamungkas, Ellie Aiboy dan Brian Fuentes sedikit melegakan kebangkitan semula jentera serangan yang akan menjadi sandaran pertemuan dengan Perlis, Sabtu ini.

``Masih terlalu awal untuk mengatakan Selangor sudah mula bangkit tetapi apa yang melegakan tiga import Bambang, Aiboy dan Fuentes sudah kembali menemui sentuhan jaringan.

``Begitu juga dengan kelibat ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan dan K. Sanbagamaran turut menampilkan corak permainan yang cukup meyakinkan,'' ujar Dollah ketika dihubungi di Maldives semalam.

Buat Dollah, pertemuan dengan Perlis di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, Selangor perlu menang untuk terus memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan faktor keletihan selepas mengharungi perlawanan di Maldives ketika pemain Selangor dijangka tiba di Kuala Lumpur lewat pagi ini, sedikit menjejaskan rentak.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4kpTOzAd9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 21 Jun 2017

Tok Gajah perangi rasuah



BERNAMA
 
SERAMAI 134 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan sukan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Program anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membabitkan pasukan utama Pahang beraksi dalam Liga Super tetapi serta pasukan Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan pasukan Piala Belia (bawah 19 tahun).

Lafaz ikrar diketuai Anggota Majlis PBNP Datuk Mukaram Shah dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad serta Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Menurut beliau usaha itu dilihat amat penting dalam meningkatkan mutu permainan bola sepak di negara ini sekali gus membebaskan pemain daripada gejala rasuah.

"Segalanya bermula daripada individu itu sendiri yang mungkin mahu mencapai sesuatu di luar kemampuannya sehingga terjebak dengan gejala ini," katanya berucap pada majlis itu yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.

Mukaram berkata jika dibiarkan ia boleh menjejaskan reputasi dan mutu bola sepak di negara ini bukan sahaja pada peringkat dalam negara tetapi juga antarabangsa dan dalam masa sama bookie yang menjadi dalang perbuatan itu meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Tengku Abdul Rahman berkata sehubungan itu pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM agar pembangunan bola sepak yang dilaksana tidak terbantut dengan perkara negatif seperti ini.

Dzulkifli Ahmad berkata setiap individu di negara ini termasuk atlet, pegawai sukan dan pengadil wajib memiliki rasa tanggungjawab untuk menolak rasuah kerana ia membawa banyak keburukan.

"Gejala rasuah akan menyumbang kepada kemerosotan prestasi dan menjejaskan kualiti liga bola sepak negara ini malah akan menyebabkan penaja sukan itu menjauhkan diri jika rasuah terus berleluasa.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:33 PM