Rabu, 17 Mei 2017

Dollah tabik Tok Gajah


                                              
Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
 
Seremban: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan pemain pasukan itu apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin.

Menurutnya, kemenangan itu tidak mungkin dapat direalisasikan apatah lagi dengan tentangan sengit diberikan Negeri Sembilan yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Pahang sejak awal minit pertama.

Beliau bagaimanapun mengakui lega kerana penyerang Negeri Sembilan gagal memanfaatkan rentetan peluang yang mereka peroleh sepanjang tempoh 90 minit permainan sengit itu.

“Alhamdulillah, kami berjaya layak ke final Piala FA dan ia hasil perjuangan sepasukan yang berjaya menyekat usaha Negeri Sembilan yang mendapat sokongan padu penyokong.

“Sebenarnya disiplin tinggi yang dipamerkan pemain antara faktor kejayaan Pahang malam ini kerana Negeri Sembilan dilihat lebih banyak menguasai permainan,” katanya.

Pahang mara ke final Piala FA dengan agregat 3-1 apabila menang 1-0 pada aksi pertama di Kuantan, 30 April lalu.

Dollah berkata, pemainnya terpaksa mengubah corak kepada bertahan selepas menyaksikan Negeri Sembilan berusaha keras memburu gol.

“Tentangan sengit lawan menyebabkan pemain saya takut melakukan serangan sebaik babak kedua bermula hingga menyebabkan Negeri Sembilan mendapat gol penyamaan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-67.

“Apapun, syabas kepada pemain yang berusaha keras merealisasikan kejayaan ini,” ujarnya.

Sementara itu, kapten Pahang Matthew Davies menakui kemenangan itu hasil komitmen tinggi rakan sepasukan.

Dia menyifatkan gol pertama yang dijaringkan pada awal permainan menyuntik semangatnya dan rakan lain untuk terus mempertahankan kelebihan itu.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:23 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan